Matta Fair Perak sedia pakej pelancongan dipercayai, elak ditipu ejen

IPOH – Orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan pakej pelancongan domestik dan antarabangsa dengan harga berpatutan serta dipercayai, boleh berkunjung ke Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak ke-32 pada 9 dan 10 Mac ini.

Pameran yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) itu akan melibatkan 33 pemain industri pelancongan yang berdaftar dengan 120 reruai turut menjadi pusat sehenti untuk pengunjung membuat pilihan.

Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin Wen Ying berkata, pengunjung berpeluang memilih pakej pelancongan disediakan agensi pelancongan berpengalaman serta mempunyai lesen daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Sehubungan itu, hanya pempamer berlesen oleh MOTAC serta ejen bertanggungjawab akan menyertai pameran tersebut di pameran yang juga pusat sehenti

“Ini bagi memastikan pakej yang dijual sah dan dapat mengelakkan daripada terjadinya kes penipuan melibatkan agensi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat MATTA Cawangan Perak di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Wen Ying berkata, susulan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian visa kepada rakyat China dan India yang dipanjangkan sehingga 31 Disember ini, pihaknya turut mengambil peluang untuk memperhebatkan lagi pelancongan domestik.

“Penganjuran pameran ini secara tidak langsung dapat membantu memulih dan merancakkan semula industri pelancongan di Malaysia,” katanya.

Katanya, pameran pada kali ini menyasarkan jualan sehingga RM23 juta sepanjang dua hari penganjuran serta memberi peluang kepada pengunjung untuk menyertai cabutan bertuah dengan pembelian minimum RM300. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pameran MATTA Perak 2024 sasar jualan RM23 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI