GERIK – Mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di Tasik Raban, berhampiran Pengkalan Ikan, Kuak, Lenggong pada Isnin disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Taiping pada Rabu mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.
Katanya, sebelum itu polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 5.17 petang, Isnin lalu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Mayat lelaki berkenaan ditemukan dalam keadaan terapung berhampiran tebing tasik sebelum dibawa ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut.
“Mayat kemudiannya dirujuk ke bahagian forensik Hospital Taiping bagi tujuan pemeriksaan lanjut dan proses pengecaman identiti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Abdul Samad berkata, identiti lelaki berkenaan disahkan oleh isterinya menerusi proses pengecaman mayat di bahagian forensik Hospital Taiping pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan di sekitar lokasi kejadian turut menemukan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dipercayai mempunyai kaitan dengan si mati.
“Beberapa spesimen telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Negeri Perak di Ipoh bagi menjalani ujian toksikologi, manakala siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Justeru itu, beliau meminta agar orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan memberikan ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mayat berbalut kain ditemukan dalam longkang di Pasar Awam Sama Gagah


