IPOH – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan ekonomi serta pemelihara warisan negeri dengan memperkenalkan dua inisiatif strategiknya iaitu Butik Cura Batik dan Amanjaya Travels Sdn Bhd (Amanjaya Travels).
Dua inisiatif yang dibangunkan di bawah anak syarikat milik penuh MB Inc ini menandakan lonjakan penting dalam usaha berterusan untuk menyeimbangkan agenda pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab memelihara khazanah seni, budaya dan warisan Perak yang tidak ternilai.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Batik Perak sebagai warisan yang dipakai dan dipamerkan dalam majlis rasmi selain memupuk kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap khazanah budaya bangsa.
“Justeru, kerajaan komited untuk memastikan khazanah warisan ini terus dipelihara, dihayati dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya selepas merasmikan kedua-dua inisiatif tersebut di Basco Avenue @ Kepayang, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali dan Pegawai Daerah dan Tanah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.
Saarani turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kedua-dua inisiatif berkenaan, sebelum menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MB Inc dan Kraftangan Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Anuar Zainal Abidin berkata, Cura Batik diperkenalkan sebagai jenama premium yang mengangkat keunggulan Batik Perak bermotifkan Bunga Kelumpang sebagai lambang kebanggaan dan identiti rasmi negeri dalam bentuk yang asli serta berprestij tinggi.
“Penubuhan Butik Cura Batik ini bukan sahaja mengangkat martabat seni warisan tempatan ke tahap yang lebih tinggi, malah turut menjana nilai ekonomi yang mampan bagi para penggiat industri kraf negeri.
“Amanjaya Travels pula beroperasi sebagai sebuah syarikat pengurusan destinasi (DMC) untuk mempromosikan keindahan, warisan dan keunikan pengalaman pelancongan eksklusif yang ditawarkan di Perak,“ ujarnya.
Beliau berkata, operasinya meliputi rangkaian perkhidmatan pelancongan dan pengurusan acara yang menyeluruh buat pelanggan korporat, agensi kerajaan, institusi serta kumpulan sendirian ke pelbagai destinasi terpilih di sekitar negeri ini.
“Antara lokasi terlibat ialah Royal Belum, Bandar Diraja Kuala Kangsar dan Gaharu Tea Valley, sekali gus menyumbang kepada usaha mentransformasikan landskap pelancongan negeri ke arah sebuah destinasi bertaraf global,“ katanya.
Pada majlis itu, Saarani turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kedua-dua inisiatif berkenaan, sebelum menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MB Inc dan Kraftangan Malaysia. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


