TAPAH – Jabatan Penjara Malaysia menganjurkan Program Penerapan Nilai-nilai Murni bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di perkarangan Dewan Dato’ Yasin, Penjara Tapah, malam tadi.
Program yang dihadiri kira-kira 1,200 orang melibatkan kakitangan dan keluarga serta komuniti sekitar Penjara Tapah itu bertujuan untuk menyantuni masyarakat dalam menyampaikan dasar-dasar kepimpinan selaras kerangka negara dibawah payung Malaysia MADANI.
Penerapan nilai-nilai murni merupakan elemen penting dalam memperkasakan integriti, disiplin dan kemanusiaan terutamanya dalam institusi penjara bagi membentuk individu yang lebih baik dan bertanggungjawab.
Majlis dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Penjara Tapah, Muhammad Waqiyuddin bin Zainol serta diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Inspektor Muhamad Nazieman Zakaria.
Seterusnya, Saarani bersama Shamsul Anuar mendengar taklimat pengoperasian Pusat Koreksional Chendriang (Kluster Dadah) yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Korektif Ibu Pejabat Penjara (IPPM), Hafidz Othman diikuti taklimat Pengoperasian Penjara Perak yang disampaikan oleh Pengarah Penjara Perak, C Charin Promwichit.
Selepas menghadiri taklimat, Saarani dan Shamsul Anuar diiringi Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak menyempurnakan penyerahan naskah Al- Quran kepada imam masjid sekitar Penjara Tapah termasuk sumbangan kepada kakitangan, asnaf dan anak yatim.
Selesai berbuka puasa, tetamu bersama mereka yang hadir menunaikan solat Maghrib dan bacaan tahlil di Surau Islahiah Penjara Tapah.
Saarani dan Shamsul Anuar kemudiannya bergerak meninggalkan majlis untuk menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih di Kompleks Perumahan PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: