IPOH – Persatuan Seni Seramik Perak (PERSERA) terus komited memartabatkan seni seramik sebagai warisan budaya, selain memacu inovasi bagi memastikan bidang itu kekal relevan dalam perkembangan seni masa kini.
Ditubuhkan pada 2016, PERSERA menjadikan tagline ‘Memartabat Warisan, Memacu Inovasi’ sebagai pegangan utama dalam usaha memperkenalkan, memelihara dan mengembangkan seni seramik bukan sahaja di Perak, malah ke seluruh Malaysia.
Keahlian persatuan itu kini melebihi 20 orang, terdiri daripada penggiat seni, usahawan, ahli akademik serta individu yang mempunyai rangkaian dan semangat perjuangan dalam bidang seni seramik.
Warisan seni seramik terus diperkasa
Pengerusinya, Mohd Shukri Hashim berkata, PERSERA berusaha memastikan seni seramik tidak dilihat sekadar sebagai hasil kraftangan, sebaliknya terus diperkasakan sebagai warisan dan bidang kreatif yang mempunyai nilai ekonomi.
“Matlamat utama persatuan ini adalah untuk memartabatkan seni warisan seramik. Pada peringkat awal, kita mahu memastikan warisan budaya ini terus dikekalkan dan dipelihara dari dahulu hingga sekarang.
“Keduanya, kita mahu melihat seramik berkembang daripada sekadar warisan kepada satu bidang seni kreatif yang boleh diterokai dengan lebih luas.

“Ketiga, melalui seni seramik ini juga, kita mahu membuka lebih banyak peluang serta potensi ekonomi kepada penggiat dalam bidang berkenaan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) baru-baru ini.
Peluang ekonomi untuk belia, komuniti usahawan
Mengulas potensi industri seramik di Perak, Mohd Shukri berkata bidang itu mempunyai peluang ekonomi yang tinggi, khususnya kepada golongan belia, komuniti dan usahawan.
“Banyak ruang dan peluang kerana untuk membuat satu produk yang dikatakan seramik itu, ia melalui pelbagai proses daripada pembuatan acuan, reka bentuk dan proses-proses yang lain.
“Setiap proses itu sebenarnya ada peluang-peluang tertentu, jadi kepada belia atau komuniti, kalau betul caranya, ia akan memberi sumber pendapatan yang bukan sedikit, malah sebenarnya boleh menjadi usahawan yang sangat berjaya,“ jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, institusi pendidikan turut menjadi antara sumber tenaga dan kepakaran dalam bidang seni seramik antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Institut Kemahiran Negara (IKN), selain penghasilan seramik tradisional yang banyak berpusat di Kuala Kangsar dan beberapa kampung di negeri ini.
“Di UiTM Seri Iskandar ada satu fakulti seni seramik dan tiga pensyarah di situ adalah ahli persatuan ini. Memang kita sentiasa bekerjasama dan mendapat input-input dari segi teori, dari segi database terkini.

“Kalau dari segi kita panggil seni seramik pembuatan tradisional yang banyak berpusat di Kuala Kangsar dan ada sebahagian di Kampung Gajah yang melibatkan generasi ketiga dan keempat,“ ujarnya.
Mengulas contoh usahawan seramik yang berjaya di Perak, beliau menyebut beberapa nama antaranya Bidat Enterprise dan KNZ Kraf Enterprise.
Beliau berkata, seorang penggiat seni seramik yang juga Timbalan Pengerusi PERSERA, Adil Abdul Ghani juga antara yang berjaya dengan menggunakan teknologi Jepun dikenali sebagai teknologi raku dari Jepun serta menembusi pasaran antarabangsa dengan jualan tahunan mencecah RM8 juta.
Produk seramik tidak terhad kepada cenderamata
Dalam pada itu, Mohd Shukri menjelaskan seni seramik itu tidak seharusnya terhad kepada penghasilan cenderamata semata-mata kerana mempunyai potensi besar untuk menghasilkan produk berfungsi seperti yang dilaksanakan di Jepun.
“Produk seramik tradisional di Perak masih banyak tertumpu kepada barangan hiasan dan produk pelancongan, namun ruang untuk mengembangkannya kepada produk lebih berfungsi seperti pinggan mangkuk perlu diterokai,“ katanya.
Menurutnya, tanah liat yang terdapat di Perak menjadi antara keunikan dan aset penting dalam perkembangan seni seramik negeri itu.

“Sebabnya kalau kita sebut di Perak ataupun di Malaysia, negeri lain tak ada sifat tanah itu. Jadi sifat tanah itu memang orang panggil dia anugerah. Kebetulan memang di Perak itu memang sifat tanah itu ada.
“Tanah itu ada di Bandar Diraja sejak 200 tahun dulu di Kampung Sayong. Jadi ada inisiatif tertentu, sifat tanah itu sendiri yang boleh membentuk dan dari situlah wujud dia punya sejarah dan seni warisan ataupun salah satu kita panggil identiti Perak yang kita warisi ini,“ ujarnya.
Dari seni warisan ke seni kreatif
Sementara itu, beliau berkata, kerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi berkaitan penting bagi memperluas pembangunan industri berkenaan, termasuk dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Apa yang kita cuba perjuangkan sekarang ini adalah lebih kepada dari segi seni warisan itu pergi ke seni kreatif.
“Seni kreatif itu akan menjana pendapatan dan kita boleh menyumbangkan industri ini. Kalau betul cara dia, boleh memberi satu impak kepada ekonomi negeri Perak sendiri.
“Kita harap akan ada ‘engagement’ dengan pihak berkaitan dari segi penyediaan ruang dan peluang kepada usahawan, pemasaran digital serta pembangunan pasaran pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, persatuan itu dalam proses merancang kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi membangunkan Akademi PERSERA sebagai usaha memperluas latihan dan pembangunan kemahiran dalam bidang seni seramik.
Sehubungan itu, Mohd Shukri berharap perkembangan industri seni seramik di Perak dapat memberi manfaat kepada ahli persatuan, masyarakat serta menyumbang kepada ekonomi negeri.
Ini selaras dengan usaha pembangunan seni budaya dan kreatif yang merupakan antara agenda utama dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘CalClean’ inovasi teknologi kitar semula sisa kapur karbida jadi produk mesra alam


