IPOH – Daripada batu kapur kepada sabun pencuci, inovasi Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berjaya mengubah sisa kapur karbida kepada batu kapur sintetik bergred tinggi sehingga terhasilnya produk komersial mesra alam, CalClean.
Inovasi menerusi Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan (CTBB) itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sisa industri, malah memperlihatkan potensi dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial kepada masyarakat.
Projek inovasi berasaskan teknologi kitar semula sisa kapur karbida yang dipelbagaikan sebagai produk komersial mesra alam itu turut memenangi pingat emas dan Anugerah Khas Juri di Pameran Reka Cipta Antarabangsa Geneva ke-49.
Teknologi dikenali sebagai ‘Rejuvenating Global Wealth via Remineralisation’ itu turut menerima Anugerah Khas (berpotensi untuk meningkatkan kehidupan manusia) dari Taiwan Invention Association (TIA).
Tiga tahun lalu, JMG turut merangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) dengan projek inovasi teknologi Lestari bumi hijau melalui kitar semula sisa kapur karbida bagi penghasilan kalsium karbonat termendak sebagai bahan pengisi dalam pembuatan cat komersial.

Sabun ‘heavy duty’ pelbagai guna
CalClean adalah sabun ‘heavy duty’ berasaskan mineral yang diformulasikan untuk menanggalkan minyak, gris dan kotoran degil pada pelbagai permukaan termasuk tekstil, peralatan dapur, lantai serta perkakasan makmal.
Pemangku Pengarah Kanan PPM yang juga Pegawai Penyelidik JMG, Dr Rohaya Othman berkata, Perak mempunyai sumber batu kapur yang banyak dengan pengeluaran dianggarkan 15 juta tan setahun.
“Batu kapur adalah satu bahan yang sangat kaya di Perak. Dianggarkan lebih kurang sebanyak 15 juta tan produksi batu kapur setiap tahun dan daripada jumlah itu, kira-kira 1 juta tan telah dieksport ke luar daripada 100 lebih kuari di Malaysia.
“Karbida adalah satu sisa yang dikeluarkan daripada industri ini yang telah menyebabkan masalah alam sekitar.
“Sebagai pegawai penyelidik, kami perlu menyelesaikan masalah alam sekitar ini, tak kira daripada bahagian mineral ataupun bahagian gas karbon dioksida yang dikeluarkan ke udara.
“Sisa mineral tadi (karbida) kita telah hasilkan batu kapur sintetik yang bergred tinggi dan digunakan dalam satu produk yang dinamakan Calclean, iaitu sabun yang boleh menghilangkan kotoran degil sama ada daripada tekstil, bahan utensil seperti periuk belanga ataupun perkakasan makmal seperti alat radas makmal,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) baru-baru ini.

Tujuh paten dibangunkan PPM
Menurutnya, teknologi berkenaan turut menghasilkan tujuh paten yang dibangunkan PPM, dengan keupayaan mempercepatkan proses penghasilan batu kapur sintetik berbanding tempoh biasa di pasaran.
“Untuk kita hasilkan batu kapur sintetik bergred tinggi daripada sisa kapur karbida ini, kami di PPM mempunyai tujuh paten yang telah kita bangunkan dan teknologi ini boleh hasilkan lebih kurang, untuk satu liter batu kapur sintetik, boleh hasilkan dalam masa 1 minit.
“Kalau ikutkan di pasaran, 1 liter perlukan masa lebih kurang 17 ke 20 minit untuk hasilkan. Jadi daripada teknologi ini, kita telah bangunkan produk daripada batu kapur sintetik ini,“ jelasnya.
Beliau berkata, teknologi tersebut mempunyai potensi aplikasi yang lebih luas dan tidak terhad kepada penghasilan sabun sahaja tetapi boleh menghasilkan produk lain seperti kertas, cat dan produk penjagaan muka.
Produk nilai tambah industri
Pada masa sama, Rohaya berkata, potensi berkenaan membuka ruang kepada pihak industri untuk melihat batu kapur bukan sekadar sebagai bahan mentah, sebaliknya sumber yang boleh diproses menjadi pelbagai produk bernilai tambah.
“Sebab itu kita nak didik pihak industri supaya lebih kembangkan ekonomi mereka bukan sahaja dalam batu kapur tu sendiri tetapi dalam penggunaan batu kapur itu juga,“ ujarnya.

Katanya, CalClean yang mula diperkenalkan sejak Mei lalu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung, termasuk menerusi program anjuran kerajaan negeri.
“Untuk CalClean kita baru bermula sejak Mei lalu dan sambutannya amat menggalakkan, sebab apa yang kita boleh tunjuk dekat sini adalah, kita boleh hasilkan produk yang boleh hilangkan kotoran daripada bahan kimia.
“Keberkesanan produk itu turut ditunjukkan menerusi penggunaan pada kot makmal yang mempunyai kesan kotoran degil, selain penggunaannya pada fabrik lama bagi meningkatkan kilauan.
“Bagi memenuhi keperluan pengguna, CalClean dihasilkan dalam beberapa saiz dan bentuk termasuk 70 gram (g), 60g dan 20g serta turut dibuat dalam bentuk parutan dan kepingan (flakes and grates) bagi memudahkan penggunaan untuk rendaman fabrik atau pembersihan jubin,“ katanya.
Kerajaan negeri beri platform perkenal produk
Dalam usaha memperluaskan pasaran, Rohaya menjelaskan pihaknya kini menggunakan platform program anjuran Kerajaan Negeri Perak sebagai antara platform untuk memperkenalkan CalClean kepada masyarakat.
Tambahnya, sambutan positif turut dilihat apabila terdapat pengunjung yang kembali mendapatkan produk berkenaan selepas mencubanya pada program terdahulu.
“Setakat ini kita belum mempunyai platform yang terbaik untuk kita pasarkan (CalClean). Kita pergi kepada program kerajaan negeri (untuk perkenal produk).

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada kami untuk pasarkan Calclean di Hari Bertemu Pelanggan dan ini merupakan kali kedua kita pasarkan di program tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, inovasi itu sekali gus memperlihatkan bagaimana sisa industri boleh diberikan nilai baharu melalui penyelidikan dan pembangunan, selain berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap produk pembersihan yang menggunakan bahan kimia pada tahap tinggi.
Usaha tersebut selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pengurusan sumber mineral seperti batu kapur secara mampan dan mesra alam di bawah agenda utama negeri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Usahawan Felcra Seberang Perak olah ‘daun‘ jadi produk kraf eksklusif


