DAUN yang gugur tidak lagi sekadar menjadi ‘sisa alam’, sebaliknya mampu diolah menjadi medium seni cetakan fabrik eco-print bernilai tinggi menerusi penghasilan produk kraf mesra alam yang unik dan eksklusif.
Berbeza dengan batik cetak konvensional yang menggunakan lilin serta bahan pewarna tiruan, teknik eco-print menggunakan daun serta mampu menghasilkan corak asli pada fabrik yang mempunyai nilai estetik tersendiri.
Pendekatan ini bukan sahaja mengangkat nilai seni kraf tempatan, malah turut menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar melalui penggunaan sumber semula jadi secara kreatif dan lestari.
Jenama ‘Artisan Jari Emas’ hasil usahawan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Nurulashikin Ahmat Tarmidi, 40, bersama dua rakannya yang mula berjinak-jinak menjalankan projek eco-print ini sejak lapan bulan lalu.
Mereka menjalankan projek ini menerusi Pertubuhan Wanita Dinamis Felcra Berhad (WADIRA) Felcra Seberang Perak.

Corak hanya satu di dunia
Beliau cukup tertarik dengan keunikan eco-print kerana setiap corak yang dihasilkan adalah eksklusif dan tidak dapat dihasilkan semula walaupun menggunakan teknik yang sama.
“Projek ini bermula pada tahun lalu dan kami masih dalam proses pembelajaran untuk mengenali daun-daun serta mencari pengalaman.
“Tapi sasaran kami untuk tahun ini adalah mengajar komuniti yang ada di Felcra Seberang Perak untuk menjana pendapatan menerusi kraf tangan eco-print.
“Kraf tangan eco-print ini memang sangat istimewa sebab dibuat daripada daun dan setiap produk memang ada satu sahaja dalam dunia. Kita nak buat sama memang tidak ada.
“Penggemar kraf memang suka kalau hasil kraf tidak sama dengan yang lain,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Felcra Seberang Perak baru-baru ini.

Ambil masa 7 hari
Bagi proses pembuatan, Nurulashikin menjelaskan pelbagai jenis daun sekitar seperti daun jati, daun janda menangis, daun air mata pengantin dan daun lemuni digunakan untuk menghasilkan corak, manakala pewarna semula jadi pula diperoleh daripada daun cempedak, daun durian dan sabut kelapa.
Katanya, fabrik yang paling sesuai digunakan untuk melakukan teknik eco-print adalah kain kapas dan kira-kira 35 meter dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan.
“Untuk proses pembuatan, kita guna daun yang ada di sekeliling kita. Prosesnya memang agak rumit, dan itu yang menjadikan kraf tersebut nilainya agak tinggi sikit harga di pasaran sebab ia ambil masa sekurang-kurangnya dalam tujuh hari untuk menyiapkannya.
“Daripada awal proses rawatan (daun) memintal, menggulung, merebus dan mengering semua itu memang bagi memastikan betul-betul tidak luntur warnanya. Menurunkan warna yang tepat, memang akan ambil masa panjang,” jelasnya.

Harga serendah RM20
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, hasil eco-print kemudian dijadikan pelbagai produk kraf seperti beg tangan, dompet, lanyard, batu seremban, kain ela dan pakaian.
Tambahnya, kira-kira 150 produk menggunakan fabrik eco-print mampu dihasilkan setiap bulan dengan harga bermula serendah RM20.
“Untuk harga produk eco-print agak mahal sikit sebab proses penghasilannya memang rumit. Harga bermula daripada RM20 ke RM190. Paling murah batu seremban, rantai kunci berbentuk tengkolok, kerongsang dan kebaya,“ ujarnya.
Felcra beri modal RM2,000
Dalam pada itu, Nurulashikin berkata, penglibatannya dalam perusahaan itu bermula selepas mengikuti kursus anjuran Felcra sebelum menerima bantuan modal permulaan sebanyak RM2,000.
“Sesi pembelajaran kami memang diuruskan oleh Felcra untuk kursus membuat eco-print ini. Balik daripada kursus itu, pihak Felcra bimbing dan beri modal RM2,000 untuk mulakan projek.

“Kami beli dulu bahan barang-barang yang orang kata asaslah, kain, kita mula dulu. Lama-lama kita dah ada modal sendiri, kita gerak sendiri dan daripada pendapatan kita pusing buat modal balik,” katanya.
Produk tembus pasaran Indonesia
Walaupun baru beroperasi tidak sampai setahun, beliau berkata, produk eco-print keluaran komuniti Felcra Seberang Perak berjaya menembusi pasaran Indonesia dengan nilai melebihi RM6,000.
Mengulas perancangan masa depan, Nurulashikin berhasrat untuk memperluaskan pengeluaran kepada kain pasang dan pakaian, selain terus menyebarkan kemahiran eco-print kepada komuniti setempat.
“Rancangan kita untuk tahun ini untuk salurkan ilmu eco-print kepada komuniti kampung kitalah. Pada masa yang sama, kita memang rancang nak keluarkan produk eco-print ini ke pasaran luar negara supaya dikenali lebih ramai,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


