IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengesan satu kes membabitkan seorang peniaga yang menyewakan semula lapan tapak bazar yang dilesenkan kepadanya dengan harga dua kali ganda harga asal.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kes itu dikesan pada hari kedua Ramadan di sebuah bazar Ramadan di sini.
Menurutnya, peniaga itu didapati menjual tapak itu dengan harga RM1,500 setapak dua kali ganda berbanding harga siling RM750.
“Sebanyak 200 tapak tersedia di bazar Ramadan berkenaan dan sewaktu proses pengundian terdapat 380 pemohon hadir.
“Ketika proses pengundian berlangsung, peniaga terbabit mendapat cabutan undi yang selain menggunakan namanya mungkin dia juga menggunakan nama adik-beradik atau mungkin saudara-mara, kita tak tahu.
“Dia dapat lapan tapak, tetapi mengikut akaun hanya dia seorang. Memandangkan masa pengundian sudah lepas, jadi proses pengundian itu nanti akan ditambah baik pada tahun mendatang.
“Penganjur akan melaksanakan saringan awal supaya mereka yang betul-betul layak sahaja dijemput untuk proses undian,” katanya.
Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2025 di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10 Bangunan MBI, di sini hari ini.
Untuk rekod MBI melesenkan 1,408 petak atau pelesen bazar Ramadan di 21 lokasi bazar Ramadan di bawah pentadbiran PBT itu pada tahun ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bazar Ramadan: Peniaga, pengunjung ambil pendekatan sederhana