KAMPAR – Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menyediakan kemudahan paun anjing yang baharu dibina dengan peruntukan RM135,000 pada tahun lalu dan mula beroperasi pada tahun ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, paun yang mempunyai fasiliti lapan bilik penempatan sementara itu boleh menampung sehingga 100 ekor anjing dewasa pada satu-satu masa.
Menurutnya, seramai lima orang staf ditugaskan bagi mengurus kebersihan, keselamatan dan pemantauan kesihatan anjing-anjing yang ditempatkan.
“Paun anjing yang baru dibina bertujuan untuk penempatan anjing secara sementara dan ia menepati garis panduan daripada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).
“Lawatan ini turut disertai oleh wakil NGO Pencinta Haiwan serta wakil media sebagai langkah untuk memperkukuh ketelusan dan membina kefahaman bersama, seterusnya menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat dalam menangani isu haiwan jalanan secara berkesan dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Tapak Pelupusan Sampah dan Paun Anjing di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Kampar (MDKpr) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dan Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias.
Dalam perkembangan sama, Sandrea memaklumkan statistik pengeluaran lesen anjing adalah sebanyak 336 lesen pada tahun 2022, 305 lesen (2023) dan 328 lesen (2024) manakala setakat April tahun ini, sebanyak 120 lesen telah dikeluarkan.
Katanya, komuniti memainkan peranan untuk menangani isu haiwan jalanan antaranya menerusi amalan pemandulan haiwan peliharaan yang masih belum menjadi kebiasaan di kalangan pemunya haiwan.
“Jadi apabila (anjing) beranak dan mereka tidak mampu atau tidak ingin untuk terus menyimpan generasi yang baru ini, anjing tersebut akan terbiar di tepi jalan dan di pasar.
“Ini menyumbang kepada populasi haiwan jalanan yang semakin meningkat. Justeru, kita perlu meningkatkan kesedaran supaya pemunya anjing ini dapat memainkan satu peranan yang lebih proaktif dalam mengatasi masalah tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, memaklumkan Program Perak Pawsitive Initiative 2025 diteruskan bagi meningkatkan kesedaran pemunya anjing untuk memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dan proaktif, serta sebagai langkah penyelesaian yang efektif dan berhemah bagi isu haiwan terbiar.
Katanya, program bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja itu akan diadakan pada 13 hingga 15 Jun ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bertempat di Dewan Serbaguna, Kampung Baru Lawan Kuda, Gopeng. – MG Perak
Artikel Berkaitan: