IPOH – Usaha mewujudkan persefahaman politik antara UMNO dan Pas perlu digerakkan dalam suasana saling menghormati tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan proses berkenaan.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang usaha mencari titik persamaan antara kedua-dua parti perlu berlandaskan sikap terbuka serta kesediaan memahami pendirian dan perbezaan masing-masing.
Menurutnya, pendekatan berunding secara matang amat penting sekiranya Pas benar-benar serius untuk membentuk persefahaman politik dengan UMNO.
“Sebab itu bila saya dengar ucapan itu, saya nak ingatkan diri saya dan kita semua, pertama, kalau ada niat untuk bermuafakat maka bahasa kita, kaedah kita, cara kita berucap hendaklah dijaga.
“Pada saya, Ketua Penerangan Pas (Ahmad Fadhli Shaari) ini tak boleh jadi jawatankuasa perunding. Tak jadi rundingan kalau itu bahasa dia.
“UMNO, kita lantik jawatankuasa runding orang yang baik hati, baik mulut, baik akhlak dan tidak akan celupar,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Ahmad Fadhli ketika melancarkan Jentera Pilihanraya Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor di Markaz Pas Bandariang Gerik pada 16 September lalu.
Ahmad Fadhli dalam ucapannya memberi peringatan kepada UMNO supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan penyatuan susulan pemilihan Ahli Dewan Negara Perak baru-baru ini.
Selain itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan keseriusan UMNO Perak yang didakwanya tidak mengikuti arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama kedua-dua parti berkenaan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan bahawa keputusan pemilihan Ahli Dewan Negara Perak yang berlangsung pada Sidang DUN Perak 10 September lalu tiada kaitan dengan ucapan Ahmad Zahid.
“Datuk Seri Zahid berucap hari Jumaat (11 September). Apa kena mengena ucapan Datuk Seri Zahid dengan pengundian? Pengundian itu hari Khamis (10 September) tak ada kena mengena.
“Jangan lupa bahawa Datuk Seri Zahid tidak sebut tentang (Timbalan Presiden UMNO) pun dalam penggulungan tak sebut tentang gabungan, hanya persefahaman,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tabung Solidariti Najib: UMNO Perak sambut inisiatif bantu lunaskan denda RM50 juta


