Tabung Solidariti Najib: UMNO Perak sambut inisiatif bantu lunaskan denda RM50 juta

IPOH – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyambut baik inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, UMNO Perak turut menyatakan kesediaan untuk menyokong usaha berkenaan.

“UMNO Perak bersedia untuk bersama-sama menjayakan inisiatif tersebut sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap Datuk Seri Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat bersandarkan tertib dan keluhuran Perlembagaan.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan baginda berhubung pengampunan Datuk Seri Najib.

“Perkembangan ini juga mengangkat ketinggian prinsip Perlembagaan negara yang meletakkan keadilan dan ihsan pada kedudukannya yang tersendiri,” ujarnya.

Menurutnya, proses kehakiman dihormati dan dilaksanakan, manakala kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong menjadi lambang kebijaksanaan serta ihsan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang dijunjung.

Tambahnya, perkembangan tersebut tentunya membawa kelegaan kepada Najib dan keluarga, serta disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh keluarga besar UMNO di seluruh negara.

Saarani turut mendoakan agar Allah SWT terus melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta mengurniakan Tuanku kekuatan dan kebijaksanaan untuk terus menaungi negara dan seluruh rakyat.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kutipan berkenaan terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus dan teratur selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Agong perkenan pengampunan bersyarat Najib, jalani baki hukuman di rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI