IPOH – Seorang mekanik bengkel kereta didenda Mahkamah Majistret Jenayah dekat sini pada Selasa, selepas gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada seorang individu berjumlah RM6,750 bagi tujuan membaiki kenderaan.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan memerintahkan agar Muhamad Zamzam Mohd Razali, 28, didenda RM5,000 dan berdepan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal bayar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 117 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya, sebelum itu TTPM Negeri telah mengeluarkan award kepada Muhamad Zamzam untuk membayar jumlah tuntutan yang dibuat pengadu dalam tempoh 14 hari.
“Lelaki itu telah gagal mematuhi award yang telah diperintahkan dan pada 1 December 2022 dan dituduh di mahkamah atas kesalahan di bawah seksyen sama iaitu ketidakpatuhan Award Borang 8 selepas tempoh 14 hari.
“Pada masa itu, lelaki berkenaan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dan mohon untuk dibicarakan.
“Namun, pada Selasa mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Ujar Kamalludin, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Perak, Muhammad Ridzuan Abd Rahim. – MG Perak
Artikel Berkaitan: