Menjelang Aidilfitri: Orang ramai mula bersesak beli barang mentah

TANJUNG RAMBUTAN – Suasana meriah di Pasar Tanjung Rambutan dengan kunjungan orang ramai untuk membeli barangan mentah bagi persiapan akhir menjelang Hari Raya Aidilfitri berbaki beberapa hari lagi.

Tinjauan MG Perak jam 9 pagi mendapati para peniaga tidak menang tangan menerima tempahan daripada pembeli.

Cuaca mendung pagi tadi memudahkan warga tempatan keluar mencari barang masakan dan membuat persiapan di saat akhir hari raya.

Peniaga daging, Jamal Talib, 66, berkata lebih 200 kilogram (kg) daging telah terjual untuk beberapa hari menjelang raya dan dianggarkan lebih ramai pelanggan sehari sebelum raya.

Penduduk di sekitar Ipoh sedang membeli barang keperluan di Pasar Tanjung Rambutan, sebagai persiapan di saat akhir Hari Raya, hari ini. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 APRIL 2024.

“Selepas Subuh kami mula berniaga dan alhamdulillah, permintaan lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lepas.

“Anggaran (sehari), 100 hingga 150 kg daging terjual ketika perayaan sahaja, berbeza dengan hari biasa, hanya 40 kg sahaja terjual dalam sehari,”katanya.

Menurut peniaga-peniaga di sana, semenjak Sabtu sudah ramai pengunjung membeli bekalan barang memasak disebabkan ramai sudah pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri.

Bagi peniaga ayam, Alynn, 34, pula berkata, setiap tahun permintaan sama sahaja kerana ia satu keperluan asas dan walaupun harga agak mahal, masih tinggi permintaan daripada pelanggan.

“Dua hari kami berniaga, hampir 600 ekor ayam terjual, dan kami menyediakan penghantaran dari rumah ke rumah untuk mereka yang membuat tempahan, kami buat setiap hari sejak awal perniagaan tahun 2011.

Peniaga ayam di Pasar Tanjung Rambutan, tidak menang tangan ketika umat Islam membuat persiapan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 APRIL 2024.

Sementara itu, peniaga santan Harapan Q Lima, Abdul Latif Othman, 39, berkata mereka terpaksa menolak separuh daripada tempahan buat masa sekarang disebabkan permintaan yang tinggi.

“Nak raya ni kami buka kedai awal, mula jam 10 malam hingga esok petang, tanpa henti berniaga, bergilir-gilir bekerja.

“Buat masa sekarang kami tak boleh dah ambil tempahan, malah pelanggan dari Kuala Kangsar juga beli dengan kami, sebabnya orang kata santan paling murah di Ipoh, disinilah, kami jual RM7 sekilo,” jelas Abdul Latif lagi.

Selain daging, ayam dan santan, orang ramai juga membeli barang keperluan lain seperti sayur-sayuran dan rempah ratus.

Permintaan tinggi bagi barangan dapur telah menggesa para peniaga untuk meningkatkan kuantiti bekalan bagi memenuhi permintaan pelanggan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bekalan ayam, daging sempena Aidilfitri mencukupi – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI