IPOH – Rakyat Perak digalakkan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS bagi membantu kerajaan mendapatkan data sebenar berkaitan prestasi serta kualiti rangkaian internet di setiap lokasi bagi mengatasi masalah capaian yang masih dihadapi di negeri ini.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, aplikasi itu membantu orang ramai menguji rangkaian internet di sesuatu lokasi secara masa nyata, termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, ping serta jitter.
Menurutnya, data yang dikumpulkan menerusi penggunaan aplikasi tersebut membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah liputan atau kualiti perkhidmatan dengan lebih tepat sebelum tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih bersasar. – MGPerak
#malaysiagazetteperak #mgperak





