MANJUNG – Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dibentangkan di peringkat Kabinet pada Ogos ini dalam usaha bagi menangani masalah kekeringan yang berlaku setiap kali cuaca panas melanda.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut berhasrat supaya pandangan kerajaan negeri diambil kira sebelum perkara itu dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet.
Menurutnya, perbincangan terperinci melalui sesi libat urus perlu diadakan bagi memastikan jajaran yang dipilih tidak memberi kesan negatif kepada penduduk setempat seperti banjir atau pemindahan tanah secara besar-besaran. -MGPerak