Minat ubah suai, baiki seluar jean mula di mesin jahit emak

IPOH – Ledakan muzik bergenre rock di Malaysia ketika pertengahan tahun 1980-an turut membawa budaya yang akhirnya mempengaruhi fesyen pemakaian masyarakat tempatan.

Pakaian seluar jean yang pada asalnya pakaian kerja buruh, mula memasuki trend pakaian golongan muda yang mana ia terus digayakan sehingga kini.

Mohd Shukri Amal, 56, menjadi saksi kepada penggayaan seluar jean yang masih relevan melalui perkhidmatan membaiki, mengubah suai, serta menjual pakaian menerusi perniagaan ‘Amaru Jeans Repair’.

Ubah suai menjahit membaiki seluar jeans pakaian mengubah suai Amaru Jeans Mohd Shukri rock
Pemilik Amaru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, tidak menang tangan melayan pelanggan di kedainya yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

Bermula di Pasar Besar Ipoh pada tahun 1986, perusahaan yang diusahakan anak kelahiran Teluk Intan itu kemudian diluaskan dengan pembukaan sebuah cawangan perniagaan di Jalan Sultan Idris Shah, dekat sini, kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Shukri memberitahu, minatnya terhadap menjahit seluar jean timbul pada usia muda iaitu ketika era kegilaan remaja terhadap muzik rock.

“Saya bermula belajar menjahit seluar jean ini secara sendiri menggunakan mesin jahit emak saya, yang mana saya tidak ada belajar atau diajar oleh sesiapa.

“Ketika saya di bangku sekolah, ramai anak muda gemar menggayakan trend seluar jean ketat kerana budaya muzik rock.

“Dan daripada situ, saya mula belajar untuk mengubah suai seluar jean sedia ada kepada penggayaan potongan ketat,” katanya ketika ditemui MG Perak di premis Amaru Jeans di Jalan Sultan Idris Shah, baru-baru ini.

Ubah suai menjahit membaiki seluar jeans pakaian mengubah suai Amaru Jeans Mohd Shukri rock
Pemilik Amaru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, ketika temubual bersama MG Perak di kedainya yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

Dia yang mesra disapa dengan nama ‘Mat Amaru’ berkata, selepas itu, dia mula nekad untuk menceburi bidang perniagaan melalui penyediaan perkhidmatan menjahit dan mengubah suai seluar jean.

Ujar Mohd Shukri, selain seluar jean, dia juga menyediakan perkhidmatan sama terhadap baju, dan jaket.

80 peratus kepuasan pelanggan

Katanya, sehingga ke hari ini dia memegang prinsip iaitu kepuasan pelanggan harus dijadikan perkara yang dititikberatkan setiap kali menerima tempahan berkenaan.

Menurutnya lagi, kadar upah yang dikenakan juga tidak menentu kerana ia bergantung kepada kehendak pelanggan serta kualiti kain terhadap satu-satu seluar jean.

Ubah suai menjahit membaiki seluar jeans pakaian mengubah suai Amaru Jeans Mohd Shukri rock
Pemilik Amaru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, mengukur seluar seorang pelanggan di kedainya yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

“Bagi saya, kalau jahitannya cantik tetapi pelanggan pakai tidak selesa, tidak guna juga. Sebab itu, dalam kerja yang saya lakukan, 80 peratus adalah keinginan pelanggan, sementara 20 peratus baru cara jahitan.

“Selain itu, gaya kerja saya, saya berpegang bahawa jika pelanggan hantar seluar jean hari ini, ia harus dapat disiapkan dalam tempoh hari yang sama,” katanya lagi.

Tambah Mohd Shukri, selain membaiki dan mengubah suai seluar jean, Amaru Jeans Repair turut menjual pelbagai jenis seluar jean berjenama di Jalan Sultan Idris Shah.

Ubah suai menjahit membaiki seluar jeans pakaian mengubah suai Amaru Jeans Mohd Shukri
Pemilik Amaru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, menjahit seluar jeans pelanggan di kedainya yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

Ujarnya, pelanggan yang membeli seluar jean di kedainya, ditawarkan perkhidmatan ubah suai secara percuma yang mana harga perkhidmatan setimpal dengan harga pakaian dibeli.

“Pakaian yang saya jual ini khususnya seluar jean, diperoleh dari luar negara iaitu dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Dan disebabkan faktor kos, pada masa akan datang, saya merancang untuk memperoleh pakaian di Vietnam,” katanya.

Terdapat seluar jeans dari pelbagai jenama yang terjual di Amaru Jeans Repair yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, perniagaan Amaru Jeans Repair yang diusahakan turut dibantu Mohd Marzukh Hasnan, 24.

Mohd Shukri berkata, selain sebagai pembantu, Mohd Marzukh turut bertanggungjawab dalam mempromosikan penjualan pakaian melalui aplikasi TikTok.

Pemilik Amaru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, memahami kehendak pelanggan serta mengutamakan kualiti jahitan  dalam kerjaya membaiki seluar jean. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

“Dalam trend perniagaan masa kini, kita memang tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah kovensional di kedai semata-mata.

“Dan disebabkan itu, Amaru Jeans Repair telah menceburi pasaran perniagaan di aplikasi berkenaan dan hasilnya sangat memberangsangkan. Setiap kali dalam sesi siaran langsung, sekurang-kurangnya 10 jenis pakaian akan terjual,” katanya lagi.

Tambahnya, ketika ini perniagaan yang diusahakan turut mencuri tumpuan pelanggan dari luar Perak termasuk Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Legasi ‘Mat Amaru’

Pemilik Amaru Jeans Repair, Mohd Shukri Amal, 56, menjahit seluar jeans pelanggan di kedainya yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 SEPTEMBER 2024.

Mohd Shukri berkata, anak sulungnya, Mohd Hafiz, 26, meneruskan legasi minatnya dalam dunia pakaian jean melalui perkhidmatan sama di Bercham.

Katanya, dia bersedia menerima secara terbuka sekiranya terdapat golongan muda yang mahu mempelajari ilmu perniagaan menjahit dan mengubah suai seluar jean dengannya.

“Jika ada yang berminat, saya sedia untuk berkongsi ilmu dengan percuma dengan mereka. Dan selepas itu, saya juga bersedia untuk membantu mereka membuka perniagaan dengan menjadi sebagai rakan kongsi,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Minat Ubah Suai, Baiki Seluar Jean Mula Di Mesin Jahit Emak

MGPerak: Minat Ubah Suai, Baiki Seluar Jean Mula Di Mesin Jahit Emak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI