Mineral, kadar aliran punca air Sungai Perak bertukar biru

IPOH – Fenomena air sungai di Hulu Perak bertukar warna kebiruan dipercayai mempunyai kaitan dengan kehadiran mineral tertentu serta perubahan kadar aliran air antara pertemuan Sungai Rui dengan Sungai Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn. Bhd., Dr Abdul Rani Abdullah berkata, kejadian yang berlaku beberapa kali sebelum itu tidak semestinya muncul sepanjang laluan sungai kerana ia turut dipengaruhi faktor tertentu untuk berlaku secara serentak pada masa dan lokasi sama.

Beliau berkata, antara persoalan yang sering ditanya mengapa warna biru hanya kelihatan pada segmen sungai selepas pertemuan dengan Sungai Rui, sedangkan ia tidak kelihatan lebih awal dari kawasan pelepasan sehingga ke lokasi kejadian.

“Perkara ini mempunyai kaitan dengan kadar alir kerana untuk berwarna biru itu bukan warna yang sentiasa ada. Ia kadang-kdanf sahaja.

“Salah satu prinsipnya adalah warna biru itu boleh menjelma pada masa ke semasa dan ia bergantung kepada faktor yang perlu untuk warna itu muncul,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rani yang juga Profesor Adjung Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, kehadiran mineral dan beberapa bahan tertentu dalam air sungai boleh dikaitkan dengan kejadian air bertukar warna menjadi biru.

Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn. Bhd. juga Profesor Adjung Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rani Abdullah ketika sesi penerangan punca Sungai Perak bertukar biru di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Jelasnya, antara bahan yang boleh menyumbang kepada perubahan warna berkenaan ialah zarah mineral, khususnya di kawasan yang mempunyai aktiviti perlombongan yang sememangnya kaya dengan kandungan mineral.

Beliau berkata, selain itu, zarah liat juga boleh menyumbang kepada warna biru, manakala kuprum merupakan antara logam yang sering dikaitkan dengan warna tersebut.

“Aluminium dalam bentuk silika juga boleh dikaitkan dengan air semula jadi berwarna biru. Silika ini pasir.

“Aluminium silikat juga mempunyai kaitan dengan kejadian air semula jadi berwarna biru, selain kalsium karbonat atau batu kapur (limestone) yang juga berkemungkinan menyebabkan perubahan warna berkenaan,” katanya.

Tambah Abdul Rani, apabila nilai logam di Sungai Perak dibandingkan, nilai di bahagian hulu sebelum pertemuan adalah rendah namun selepas bertemu dengan Sungai Rui ia bertambah.

“Keadaan ini memberi implikasi bahawa masalah di Sungai Perak berhampiran jambatan Kampung Sungai Papan tidak berpunca daripada bahagian hulu Sungai Perak, sebaliknya berpunca daripada Sungai Rui,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh fenomena sungai berwarna biru di Rio Celeste, Costa Rica, apabila dua aliran sungai yang jernih bertemu sebelum menghasilkan warna biru.

Fenomena sungai berwarna biru di Rio Celeste, Costa Rica, apabila dua aliran sungai yang jernih bertemu sebelum menghasilkan warna biru

“Kejadian air berwarna biru itu juga bukan fenomena yang baharu kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini, termasuk pada 2019,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa warna biru yang dilihat secara fizikal tidak boleh dijadikan ukuran tunggal untuk menentukan sama ada air sungai tercemar atau sebaliknya.

“Air biru ialah apa yang mata kita nampak. Sama ada kualiti air tercemar atau tidak hanya boleh diketahui selepas kita mengujinya.

“Penilaian terhadap kualiti air perlu dibuat berdasarkan analisis dan data saintifik, bukan hanya berdasarkan perubahan warna yang dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI