Moh Sukses SPM bakal diperluas di seluruh daerah  – Saarani

LENGGONG – Program Moh Sukses SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang dicetuskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dijangka akan diperluaskan di seluruh daerah.

Bagaimanapun, Saarani berkata, program itu hanya boleh dilaksanakan di daerah lain jika terdapat keperluan dan peruntukan yang munasabah.

Menurutnya, sebagai permulaan, program ini akan diperluaskan ke sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering.

“Saya akan lihat sama ada keperluan untuk meluaskan program ini di daerah lain. Jika ada keperluan peruntukan yang munasabah tiada masalah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.

Moh Sukses SPM bakal diperluas di seluruh daerah  - Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama pada Majlis Perasmian Penutupan Program Moh Sukses SPM 4.0 Tuisyen Cikgu Saarani Dun Kota Tampan Sesi 2023/2024 dan Karnival TVET di Dewan Bestari SMK Dato Ahmad Lenggong, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Moh Sukses SPM 4.0 Tuisyen Cikgu Saarani DUN Kota Tampan 2023/2024 dan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Lenggong, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Penyelaras Program Moh Sukses SPM 4.0 Tahun 2023/2024, Dr S Shanmuga Velu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, program tersebut sudah dimulakan sejak tahun 2020 khusus untuk membantu calon SPM yang bersekolah di DUN Kota Tampan.

Katanya, terdapat tiga buah sekolah menengah di dalam DUN tersebut iaitu SMK Dato Ahmad Lenggong, SMK Tan Sri Abdul Aziz dan SMK Sultan Azlan Shah yang telah mengikuti program tersebut sejak empat tahun lalu melibatkan 800 pelajar.

“Apabila saya menjadi Menteri Besar, kita masukkan program ini sebagai salah satu daripada Program Tuisyen Cikgu Saarani.

“Kita buat tiap-tiap tahun dan ini tahun yang keempat. Pengetua di sekolah-sekolah berkenaan turut  mengiktiraf bahawa program ini baik dan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan calon-calon SPM pada setiap tahun,” ujarnya.

Moh Sukses SPM bakal diperluas di seluruh daerah  - Saarani
Pelajar melihat pameran pada Karnival TVET di Dewan Bestari SMK Dato Ahmad Lenggong, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 JANUARI 2024.

Program tersebut diadakan untuk memberi bimbingan kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM terutamanya dari segi skop pembelajaran dan teknik menjawab yang berkesan.

Dalam pada itu, program berkenaan turut meringankan beban pelajar dari segi perbelanjaan tuisyen dan meningkatkan motivasi pelajar SPM supaya dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: Tuisyen Cikgu Saarani diteruskan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI