IPOH – Tindakan mencurigakan sebuah lori mengisi minyak sebanyak 11 kali dalam masa kurang satu jam di sebuah stesen minyak di Bandar Seri Botani di sini membongkar aktiviti penyelewengan diesel semalam.
Sindiket dipercayai mengunakan lori yang menggunakan tangki yang diubah suai membeli minyak diesel dari stesen-stesen minyak sekitar kawasan terbabit sebelum bergerak ke suatu lokasi terpencil untuk menjualnya terus kepada pembeli.
Modus operandi itu dijalankan pada lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, kegiatan tersebut terbongkar menerusi serbuan Ops Tiris yang dijalankan pihaknya kira-kira 9.30 malam.
Menurutnya, kejayaan operasi tersebut hasil maklumat risikan selama dua minggu berhubung aktiviti pembelian minyak diesel menggunakan sebuah lori bertutup kanvas berkapasiti lima tan yang mengisi minyak secara berulang kali di stesen minyak yang sama.
“Sewaktu kejadian, anggota perisikan melakukan intipan dan mendapati sebuah lori mengisi minyak beberapa kali dalam masa kurang satu jam di sebuah stesen minyak di lokasi berkenaan.
“Sejurus mendapat maklumat, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak bergegas ke lokasi untuk melakukan serbuan ke atas lori tersebut. Pemeriksaan ke atas lori kanvas itu menemui empat buah tangki IBC yang diubah suai berisi 2,500 liter cecair yang disyaki minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Kamaluddin berkata, pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang lesen Control Supply Act (CSA) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta.
“Hasil serbuan itu kita menyita cecair yang disyaki minyak diesel sebanyak 2,500 liter, sebuah lori kanvas berkapasiti lima tan, tangki IBC segi empat fiber dan pam diesel dengan nilai sitaan berjumlah RM41,375.
“Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dipercayai pemandu lori turut ditahan untuk siasatan,” jelasnya.
Kamaluddin berkata, pihaknya percaya stesen minyak terbabit dipercayai bersubahat membenarkan pembelian secara berulang-ulang kali minyak diesel kepada sindiket berkenaan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha stesen minyak ini juga akan turut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya – MG Perak