TELUK INTAN – Mahkamah Majistret Teluk Intan, pada Selasa mengeluarkan waran tangkap terhadap pemilik syarikat lori muatan batu yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di sini 13 Mei lepas.
Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan itu selepas mendapati individu terbabit gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.
Difahamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menghantar saman kepada pemilik syarikat lori itu untuk hadir ke mahkamah bagi prosiding pendakwaan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 58 masing-masing mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan waran tangkap tersebut.
Terdahulu media melaporkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali syarikat lori, Tashveen Trading, susulan daripada insiden tragis berkuat kuasa 29 Mei 2025.
Menerusi satu kenyataan APAD memaklumkan, selepas lesen itu dibatalkan, syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen itu.
Hasil siasatan APAD juga mendapati syarikat itu gagal mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), gagal memastikan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) berfungsi dan telah tamat tempoh.
Malah, lori berkenaan turut didapati membawa muatan yang menyalahi jenis barang yang ditetapkan dalam permit kenderaan tersebut dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Pada kejadian sekitar jam 8.50 pagi 13 Mei lalu, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak FRU dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam, dekat sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: