PARIT – Hidayah, walau ringan di lidah, namun erti di sebaliknya begitu besar kerana ia merupakan misteri yang dipegang Sang Pencipta Alam.
Ternukil dalam sirah Rasulullah SAW apabila bapa saudara Baginda, Abu Talib bin Abdul Mutallib tidak menyahut seruan kekasih Allah itu walaupun hatinya sayang pada Baginda.
Namun di sebalik kisah itu, sirah Nabi Muhammad SAW juga berjaya meniupkan angin hidayah kepada antara sebilangan daripada sekitar 300 keluarga masyarakat Orang Asli suku Semai di Kampung Sungai Perah, dekat sini.
Hamizan Long Bidoh, 36, yang mengucap dua kalimah syahadah kira-kira dua tahun lalu berkata, dengan mendalami kisah para Rasul dan sejarah Islam, terjentik hatinya untuk lebih mengenali agama syumul itu.
Katanya, rakan-rakan yang beragama Islam sebelum ini turut membantu menerangkan kepadanya berkaitan perkara-perkara asas dalam agama.
“Selepas saya memeluk Islam, saya dapat rasakan rezeki saya semakin bertambah, walaupun saya hanya buat kerja kampung.
“Malah, saya rasa hidup lebih teratur berbanding sebelum kini kerana rasa hidup ini ada hala tuju.
“Dan sepanjang tempoh ini, saya ada merujuk kepada ustaz melalui siri-siri kelas agama, di samping isteri turut membimbing saya dalam hal-hal seperti solat, bacaan al-Fatihah dan sebagainya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Sumbangan Aidiladha Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah di Kampung Sungai Perah, dekat sini, baru-baru ini.
Anak bongsu dari sembilan beradik itu memberitahu, walaupun keputusannya untuk memeluk Islam tidak dihalang keluarga, namun dia tetap berhadapan dengan cabaran sekitar pada detik-detik awal bergelar Muslim.
“Rakan-rakan sekampung yang bukan Islam mula menjauhkan diri daripada saya sebab kata mereka segan dengan saya.
“Mereka juga kata yang selepas ini susah untuk berjumpa kerana perlu menjaga soal makan dan minum dengan saya.
“Akan tetapi, saya tetap mendekati mereka kerana saya katakan yang tidak ada masalah untuk terus berkawan, asalkan saya tahu batas-batas dalam agama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hamizan berkata, Hari Raya Aidiladha antara perayaan dinantikan kerana suasana bergotong-royong dalam melakukan ibadah korban adalah yang disukainya.
‘Saya juga mahu bawa mak, ayah ke syurga’
Berkongsi cerita sama, Siti Zubaidah Abdullah, 44, memberitahu cintanya terhadap Islam berputik selepas membaca sirah perjalanan dakwah dan riwayat Baginda SAW.
Dia yang meminati bidang sejarah sejak di bangku sekolah berkata, semakin dia membaca buku-buku berkenaan sejarah Islam, semakin dia ingin mengetahui tentang Islam.
“Selepas saya mengucap syahadah pada Februari 2011, arwah ayah saya terkejut juga sebab katanya tak ada perbincangan awal.
“Akan tetapi dia nasihat kepada saya bahawa hidup beragama ini harus buat dengan betul-betul. Malah dia juga kata agama dan adat tidak ada jauh beza,” ujarnya.
Walaupun sudah lebih 10 tahun bergelar Muslim, Siti Zubaidah berkata hanya dua orang daripada 11 beradik yang menerima hidayah dan mengikut jejak langkahnya.
“Kita hidup beragama ini, perasaan sayang bukan hanya di dunia sahaja, kerana dunia ini sementara.
“Kalau boleh, saya nak bawa mak, ayah dan adik-beradik saya ke syurga. Tapi itulah, hidayah itu milik Allah.
“Dan saya hanya mampu bercerita (tentang keindahan Islam) dan tunjuk akhlak yang baik-baik sahaja kepada mereka,” katanya lagi.
Masih mendalami ilmu agama
Menurut Siti Zubaidah, walaupun masih mendalami ilmu agama, dia tidak lokek untuk turut mengajarkan ilmu-ilmu asas mengaji Al-Quran kepada kanak-kanak Muslim di Kampung Sungai Perah.
Namun, ibu kepada enam anak itu berkata, aktiviti itu terpaksa dihentikan sebelum Bulan Ramadan yang lalu kerana perlu menjaga bapa saudaranya yang uzur.
“Apa yang saya belajar adalah dakwah (kepada ahli keluarga dan rakan-rakan) bukan sekadar ceramah sebaliknya ia melalui perbuatan atau akhlak.
“Kita lihat bagaimana keperibadian akhlak Nabi Muhammad SAW, sehingga yang benci pun boleh sayang kepada Baginda. Dan ini yang saya masih belajar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Siti Zubaidah berkata, adalah sebagai satu kepuasan buat dirinya apabila turut mendalami ibrah disebalik setiap ibadah dan perayaan yang disambut dalam Islam.
“Menjadi Muslim ini membuatkan saya rasa perayaan yang disambut bukan sekadar suka-suka, sebaliknya ada pengertian disebaliknya.
“Misalnya, Hari Raya Korban yang disambut antaranya disebalik dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Ia buat saya rasa lebih sayang pada Islam,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: