Yayasan Taqwa sedia hulur bantuan dana kepada Palestin

IPOH – Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan dana kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang ketika ini berhadapan dengan serangan berat sebelah rejim Zionis Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan berkata, bagaimanapun keputusan tersebut bergantung kepada arahan di peringkat tertinggi kerana yayasan itu dinaungi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ujarnya, Yayasan Taqwa merupakan agensi yang diberi tanggungjawab membantu MAIWP dalam membuat agihan zakat.

“Kalau ada permohonan yang dikemukakan kepada kami bersesuaian dasar agihan yang dilaksanakan oleh Yayasan Taqwa, kami boleh membantu. (Ini kerana) MAIWP pernah membantu sebanyak RM1 juta waktu gempa bumi di Turkiye.

“Tapi mungkin penyelarasan di peringkat agensi kerajaan telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan perkara ini untuk pastikan perkara ini sampai kepada penerima seperti mangsa peperangan seperti di Palestin,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan (kanan) merasmikan Majlis Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani Polycc 2023 di Politeknik Ungku Omar. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 OKTOBER 2023

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani POLYCC 2023 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Shamsuri Abdullah dan Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Shamsuddin Moner.

Sementara itu, Shamsuri berkata, penganjuran Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani POLYCC 2023 itu memfokuskan kepada kepimpinan golongan muda merupakan platform terbaik pengukuhan jati diri sebagai pelajar pendidikan kemahiran di Politeknik dan Kolej Komuniti.

Katanya, seramai 237 pemimpin pelajar yang terdiri daripada 92 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari 32 buah Politeknik seluruh negara dan 145 ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dari 72 buah Kolej Komuniti menghadiri konvensyen tersebut. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI