KUALA LUMPUR – Keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum telah disampaikan kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Peguam Negara.
“Kerajaan mengambil maklum keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa Baginda untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib, termasuk tahanan rumah dan denda RM50 juta adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Fahmi memberi jaminan pendirian kerajaan terhadap rasuah tidak berubah.
“Semua kes, termasuk kes Datuk Seri Najib yang sedang berjalan dan kes-kes rasuah lain, akan terus diproses mengikut landasan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini.
— BERNAMA


