Nasi ayam penyet resipi asli negara seberang ‘bersembunyi’ di Jawa Cafe

SIAPA sangka ruang bawah tanah di Kompleks Yik Foong tersembunyi satu kedai makan yang menyajikan nasi ayam penyet menggunakan resipi asli dari negara seberang.

Walaupun nampak biasa, namun rasa ayam yang garing di luar dan berjus di dalam ditambah dengan sambal penyet padu melahirkan rasa luar biasa kepada mereka yang pernah menikmatinya.

Kedai yang diberi nama Jawa Cafe ini mula beroperasi sejak 14 tahun lalu di tengah bandar raya Ipoh menjadi tarikan pelanggan pelbagai bangsa untuk singgah makan tengah hari di situ.

Pemilik bersama Jawa Cafe, Puji Lestari, 42, berkata, segalanya bermula apabila rakannya yang juga pemilik kedai berkenaan, Nur Azar Abdullah, 40, mengajaknya untuk menjalankan perniagaan nasi ayam penyet menggunakan resipi asli dari Indonesia.

Dia yang juga tukang masak di kedai berkenaan berkata, dia akan memasak sekitar 70 hingga ke 80 ekor ayam setiap hari termasuk pada waktu hujung minggu bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Nasi ayam penyet resipi asli negara seberang ‘bersembunyi’ di Jawa Cafe
Suasana sekitar kedai Jawa Cafe Ayam Penyet di Kompleks Yik Foong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Menurutnya, dia tidak mahu memasak melebihi kapasiti kerana ingin menjaga kualiti ayam penyet supaya rasanya kekal sama pada setiap masa.

“Sebenarnya resipi asal nasi ayam penyet ini saya belajar daripada ibu sewaktu menetap di Kampung Semarang Jawa Tengah, Indonesia.

“Ibu mengajar saya memasak resipi asli ayam penyet ini terutamanya ketika ada acara keramaian seperti kenduri kahwin.

“Disebabkan itu, rasa ayam penyet masih sama kerana saya sahaja yang memasak dari awal kedai ini dibuka sehingga sekarang,“ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nasi ayam penyet resipi asli negara seberang ‘bersembunyi’ di Jawa Cafe
Nasi ayam penyet antara menu tumpuan pelanggan yang singgah ke Jawa Cafe Ayam Penyet yang terletak di Kompleks Yik Foong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Dalam pada itu, Puji berkata, selain, nasi ayam penyet, kedai tersebut turut menjual beberapa jenis makanan terkenal Indonesia antaranya bakso, nasi pecal lele (ikan keli), air batu campur (abc) dan jus alpukat (avocado).

Katanya, harga nasi ayam penyet yang dijual amat berpatutan antara RM9 sehingga RM11 sahaja serta mampu dinikmati oleh pelbagai golongan.

“Walaupun terpaksa menaikkan sedikit harga memandangkan keadaan ekonomi yang semakin meningkat namun pelanggan kami tetap setia dan terus berkunjung ke sini.

“Bukan sahaja pelanggan setia dari zaman kedai dibuka malah pelanggan baru juga banyak singgah untuk merasai sendiri nasi ayam penyet dari Jawa Tengah ini,“ ujarnya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, pelanggan di kedai tersebut meliputi semua kaum di Malaysia malah pengunjung dari Kemboja, Thailand dan Indonesia turut singgah ke situ.

Nasi ayam penyet resipi asli negara seberang ‘bersembunyi’ di Jawa Cafe
Pelanggan sedang memilih pesanan di kedai Jawa Cafe Ayam Penyet yang terletak di Kompleks Yik Foong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Kedai tersebut beroperasi setiap hari termasuk hujung bermula sekitar jam 11 pagi sehingga 4 petang (cuti sepanjang bulan Ramadan).

Kepada penggemar nasi ayam penyet boleh singgah ke Jawa Cafe yang beralamat di LG29, Kompleks Yik Foong, Jalan Laksamana, 30300 Ipoh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dangau Mak Ani saji makanan kampung dalam suasana hijau

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI