NCIA peruntuk RM61.2 juta laksana empat projek pelancongan di Perak

IPOH – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM61.2 juta bagi melaksanakan empat projek utama dalam sektor pelancongan Perak.

Projek pembangunan sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilaksanakan NCIA di negeri ini kini berada di landasan tepat bagi memacu ekosistem pelancongan mampan menjelang 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada empat projek itu, dua daripada projek tersebut telah berjaya disiapkan sepenuhnya.

Menurutnya, projek tersebut membawa impak positif dengan merancakkan industri pelancongan negeri serta mewujudkan pelbagai peluang ekonomi baharu untuk masyarakat setempat.

“Projek yang telah disiapkan adalah pembangunan semula pusat pelancongan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang dan infrastruktur Pelancongan Warisan Ipoh yang telah menyokong aspirasi Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

“Dua lagi projek pembangunan strategik yang sedang dalam fasa pelaksanaan adalah Pembangunan Trail Pelancongan di Pengkalan Hulu dan Pembangunan Pelancongan Arkeologi Lembah Lenggong yang juga Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kedua-dua projek baharu ini akan memangkin daya tarikan dan melengkapi pakej pelancongan di Perak di peta dunia bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara selaras dengan salah satu program flagship iaitu Ekonomi Pengalaman di bawah Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pembangunan Ekosistem Pelancongan Negeri Perak anjuran NCIA, di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Program berkenaan bagi menghargai peserta Program Dana Usahawan NCER (DU@NCER) dan Tranformasi Usahawan Mampan NCER (NEST) dari Perak yang telah menyumbang dalam memperkukuhkan ekosistem pelancongan negeri.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan Hab Agro Makanan NCER di Perak yang dipacu oleh kerjasama pelaburan awam swasta.

“Projek ini akan menjadikan Perak sebagai hab agro makanan yang kondusif, inovatif, berdaya maju serta mampan.

“Secara tidak langsung akan menyokong agenda keterjaminan makanan negara selain membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER.

“Hab Agro Makanan NCER ini berpotensi menyumbang sebanyak RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak dan meningkatkan pendapatan petani tempatan sehingga 25 peratus hasil adaptasi teknologi pertanian moden,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

NCIA biaya RM15 juta bangunkan Projek Pelancongan Warisan Ipoh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI