LARUT – Allahyarhamah Pegawai Waran II, Norfarahimi Mohd Saedy, 41, pernah menyatakan hasrat mahu membawa kakak sulungnya, Norlaida Mohd Saedy, 55, menunaikan umrah.
Bagaimanapun, Norlaida berkata, dia menolak hasrat adik perempuannya itu dan menasihatinya untuk menguruskan kewangan dengan baik memandangkan adiknya akan pencen daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Jun ini.
“Sebelum ini, arwah pernah beritahu nak bawa saya menunaikan umrah sewaktu berbual dengan anak saya.
“Selepas saya mendengar cerita itu, saya menolak dan menyuruh arwah pergi menunaikan umrah bersama keluarganya.
“Saya turut meminta arwah berjimat kerana dia akan pencen pada bulan Jun,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Jas, Rantau Panjang Selama dekat sini, semalam.
Norfarahimi antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas selepas bergesel sewaktu menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 di TLDM Lumut Selasa lalu.
Menceritakan detik sewaktu mengetahui kemalangan yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu, Norlaida berkata, dia terkejut dan hampir pengsan.
“Selepas dengar kejadian yang menimpa Farah, saya rasa seperti nak pengsan. Kemudian, saya terdiam dan terus menangis kerana terkejut.
“Kali terakhir saya bertemu arwah pada hari raya kedua sewaktu mereka sekeluarga datang ke rumah kami di Padang Serai.
“Selalunya, arwah seorang yang ceria dan sering berceloteh namun pada hari itu arwah lebih banyak mendiamkan diri.
“Tak sangka itu antara petanda yang dia akan pergi meninggalkan kami untuk selama-lamanya,” jelasnya yang menyifatkan arwah seorang adik yang sangat baik dan tidak pernah menyakiti hatinya.
Malam tadi, lebih 1,000 orang terdiri daripada keluarga, saudara mara dan orang awam menyambut ketibaan jenazah Pegawai Waran II, Norfarahimi Mohammad Saedy, 41, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Damak, Sungai Bayor dekat sini, malam tadi.
Perjalanan terakhirnya itu turut diiringi suami, Pegawai Waran I, Muhd Faizul Kameh, 42, serta tiga orang anak mereka. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lebih 1,000 iringi perjalanan terakhir Allahyarham Norfarahimi