ODF24 platform terbaik promosi Lenggong di persada antarabangsa

LENGGONG – Penganjuran Lenggong Outdoor Festival 2024 (ODF24) bertemakan ‘Unplug & Reconnect’ yang kini memasuki tahun ketiga pada tahun ini berjaya mengumpulkan lebih 30 komuniti aktiviti lasak dari seluruh negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, festival ini bukan sahaja menyuntik limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, malah menjadi platform strategik untuk mempromosikan keunikan Lenggong di persada antarabangsa.

Menurutnya, ODF24 menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik seperti mendaki bukit, meneroka gua, berakit di Sungai Perak, berbasikal lasak, dan banyak lagi.

ODF24 platform terbaik promosi Lenggong di persada antarabangsa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada majlis perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Resort Tasik Raban. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JUN 2024.

Tambahnya, setiap aktiviti yang dilakukan bukan sekadar memberi pengalaman yang menyeronokkan, tetapi juga memberi peluang kepada peserta ODF24 untuk menghayati keindahan alam semulajadi serta warisan budaya Lenggong secara lebih dekat.

“Saya yakin, dengan penganjuran festival berprestij ini, Lenggong bakal menjadi hab eko-pelancongan bertaraf global yang menjadi tumpuan penggemar aktiviti rekreasi luar dari segenap pelosok dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Resort Tasik Raban, malam tadi.

ODF24 platform terbaik promosi Lenggong di persada antarabangsa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Resort Tasik Raban. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JUN 2024.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam pada itu, Saarani berkata, sepanjang tahun ini, Lenggong sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah kepada lebih 15 acara yang menjanjikan pengalaman unik, seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Katanya, melalui penganjuran program tersebut secara tidak langsung dapat mengangkat lagi imej dan kedudukan Lenggong sebagai destinasi pelancongan unggul di Malaysia.

“Antara acara-acara yang bakal dianjurkan termasuklah Lenggong International Archaeology Symposium, Lenggong Heritage Run, Lenggong Food Festival, dan Lenggong Cultural Night.

“Setiap acara ini dirancang dengan teliti untuk memberi pengalaman yang unik kepada pengunjung, sambil memperkenalkan mereka kepada kekayaan warisan Lenggong,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah merangka pelbagai program dan inisiatif untuk memastikan pembangunan Lenggong berjalan seiring dengan usaha pemuliharaan warisannya.

ODF24 platform terbaik promosi Lenggong di persada antarabangsa
Para tetamu yang hadir pada majlis perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Resort Tasik Raban. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JUN 2024.

“Kita sedang membangunkan Pelan Pengurusan Pemuliharaan yang komprehensif untuk memastikan tapak-tapak warisan di Lenggong dipelihara dengan baik, di samping meningkatkan infrastruktur pelancongan di kawasan ini, termasuk menaik taraf jalan, menyediakan lebih banyak penginapan yang berkualiti, dan membangunkan pusat interpretasi warisan yang moden.

“Selain itu, kita juga memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti tempatan seperti program-program latihan dan pembangunan keusahawanan bagi memastikan penduduk tempatan dapat meraih manfaat daripada perkembangan industri pelancongan di Lenggong.

“Untuk itu, saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar bersama-sama menghayati, memelihara dan mempromosikan keunikan Lenggong ke serata dunia kerana kita semua mempunyai peranan penting dalam memastikan warisan Lenggong terus terpelihara untuk generasi akan datang,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suasana PAC 2024 Di Resort Tasik Raban, Lenggong

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI