OKU mental cuba rosakkan kereta ditahan

IPOH – Seorang lelaki yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental ditahan selepas membaling dan mengetuk sebuah kereta menggunakan atap genting di Taman Wing Onn, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit berikutan laporan polis yang dibuat pemilik kereta sekitar jam 8.21 malam, 14 Ogos lalu.

“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian, kereta milik lelaki berusia 23 tahun yang diparkir di tepi jalan telah dibaling dan diketuk menggunakan atap genting oleh suspek.

“Susulan kejadian itu, pemilik kereta terbabit telah membuat laporan polis pada Rabu lalu.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan yang berusia 47 tahun yang merupakan pemegang kad OKU mental untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hasil semakan rekod jenayah turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah.

“Pihak siasatan sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat pendakwa raya negeri untuk cadangan pertuduhan ke atas suspek.

“Justeru, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang melangkau undang-undang serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 11 saat yang tular di laman X memaparkan seorang lelaki berseluar pendek dan tidak berbaju mengetuk sebuah kereta menggunakan atap genting. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu Alphard belasah lelaki, rosakkan kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI