KUALA LUMPUR – Realiti semasa menunjukkan sokongan dan keakraban orang Melayu terhadap UMNO tidak lagi seperti dahulu, malah parti itu dilihat semakin terpinggir daripada naratif kejayaan semasa.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi itu diakui sebagai satu hakikat yang perlu diperbetulkan melalui pendekatan baharu lebih berteraskan prestasi, integriti dan pembaharuan menyeluruh.
“Realitinya, orang Melayu hari ini tidak lagi semesra seperti dahulu dengan UMNO. Malah dalam banyak keadaan, UMNO seolah-olah terpinggir daripada naratif kejayaan mereka.
“Ini adalah hakikat yang mesti kita akui. Ia mesti kita perbaiki. UMNO mesti mengembalikan keyakinan bangsa, dengan prestasi, kejujuran, dan pembaharuan yang nyata,” katanya berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga berkata, UMNO kini berdepan persoalan besar mengenai hala tuju masa depan termasuk gagasan yang ingin dibawa untuk membina Malaysia yang lebih mampan serta melahirkan masyarakat Melayu berdaya saing di peringkat global.
“Bagaimana kita mahu melonjakkan kebolehsaingan bangsa Melayu secara drastik? Bagaimana kita mahu memposisikan profesional Melayu di peringkat antarabangsa dan mengangkat universiti kita menjadi institusi bertaraf dunia?
“Bagaimana kita mahu menangani dampak globalisasi dan digitalisasi, dan menguruskannya untuk manfaat kelangsungan politik dan kepentingan sosio-ekonomi Melayu,” katanya.
Selain itu, katanya, keupayaan mengurus impak globalisasi serta revolusi digital menjadi faktor penting dalam memastikan kelangsungan politik dan kestabilan sosioekonomi orang Melayu terus terpelihara.
“Lihat sahaja krisis di Timur Tengah. Apa pengajarannya kepada ekonomi bangsa Melayu dan bagaimana krisis sebegini dapat menjadikan kita lebih berketahanan?
“Begitu juga dengan revolusi digital. Ia adalah revolusi terhebat dalam sejarah manusiawi,” katanya.
Katanya lagi, cabaran UMNO hari ini untuk menyantuni generasi hari ini yang disifatkan sebagai pribumi digital.
“Lahir dan membesar dalam dunia tanpa sempadan dan persekitaran digital total. Semakin jauh dari akar budaya dan sejarahnya.
“Lalu bagaimana UMNO akan memukau perhatian mereka tentang “Keindukan Melayu”, perjuangan kebangsaan, dan kelangsungan bangsa?” katanya lagi. – MalaysiaGazette


