PAC 2024 sasar lebih 2,000 pengunjung sehari

LENGGONG – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), menyasarkan lebih 2,000 pengunjung sehari pada Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024), di Resort Tasik Raban, dekat sini, yang akan diadakan selama tiga hari bermula 17 Mei nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya berkata, acara yang julung kali diadakan itu bertujuan sebagai merancakkan lagi industri agropelancongan khususnya di daerah Hulu Perak.

Katanya, walaupun dianjurkan di Negeri Perak, namun pihaknya juga mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari luar negeri mahupun luar negara.

“Sektor agropelancongan juga merupakan salah satu komponen tanggungjawab yang melibatkan Perak SADC selaku peneraju utama sektor pertanian di negeri ini.

“Walaupun ia julung kali diadakan, namun kami merancang menjadikan ia sebagai salah satu acara tahunan.

“Dan mungkin sekiranya ia berjaya, tidak mustahil kami akan berusaha untuk menjadikan acara PAC ini sebagai antara salah satu agenda nasional,” katanya.

Perak SADC PAC 2024 Datuk Yahanis Yahya Karnival Agropelancongan Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak Lenggong pelancongan
Pengurus Besar Strategik dan Pembangunan Perniagaan Perak SADC, Zulfadzli Muhd Irpan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yahanis Yahya pada sidang media Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 1 MAY 2024.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Lawatan Pengenalan PAC 2024 yang disertai sekitar lebih 20 pengamal media dan pempengaruh di sekitar Lenggong, pada Selasa.

Pada acara yang berlangsung selama sehari itu, peserta dibawa melawat ke beberapa lokasi tumpuan pelancongan termasuk Galeri Lenggong Geopark, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Galeri Aki Aji, Kuak Hill Resort serta Ladang Ternakan Rusa Prospek Lenggong.

Mengulas lanjut, Yahanis berkata, Lenggong dipilih sebagai lokasi penganjuran disebabkan daerah berkenaan merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia yang diberi pengiktirafannya oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) pada tahun 2012.

Menurut beliau, melalui PAC 2024, ia juga sebagai usaha membantu kerajaan negeri untuk mencapai kehadiran 8 juta pelancong ke negeri ini bersempena dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024.

Perak SADC PAC 2024 Datuk Yahanis Yahya Karnival Agropelancongan Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak Lenggong pelancongan
Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) . ihsan PERAK SADC

“Daripada segi promosi, Perak SADC telah menempah slot siaran di televisyen awam dan swasta serta melalui paparan iklan elektronik di sekitar Perak dan Kuala Lumpur, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya lagi.

Acara yang akan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu juga selari dengan agenda Perak Sejahtera 2030, iaitu dalam Flagship Lembah Bakul Makanan (Sekuriti Makanan) di bawah program Hab Agropelancongan serta Flagship Ekonomi Pengalaman.

Pelbagai acara dan aktiviti yang akan berlangsung pada PAC 2024 antaranya, karnival jualan, pameran, forum, ceramah, tawaran pakej-pakej pelancongan, aktiviti sukan air serta lasak, belon udara panas dan sebagainya.

Selain itu, acara berkenaan turut menampilkan selebriti tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Jamal Abdillah dan Datuk Awie. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak SADC tawar 24 ekor lembu, 3,600 ayam pada Jualan Rahmah Aidilfitri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI