PAFA, Perak FC perlu berunding selepas kemelut selesai – Exco

PARIT – Kerajaan negeri mencadangkan agar satu perbincangan dan rundingan di antara Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Perak FC dapat dilaksanakan selepas kemelut dalaman persatuan bola sepak tertua negara itu akhirnya selesai.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia bertujuan memastikan kegemilangan bola sepak negeri dapat dikembalikan semula.

“Saya berharap agar PAFA boleh bekerjasama sebaik mungkin dengan pasukan Perak FC untuk bersama-sama berbincang, berunding bagi mendapatkan kata dan persetujuan.

“Ia bertujuan agar Perak menjadi padu dalam Liga Super dan liga-liga lain serta menjadi salah sebuah pasukan yang hebat dan menjadi pencabar kepada pasukan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Santai Port Luck Sambil Healing Tepi Sungai di Dataran Nordin@Sungai Perak anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai pembatalan pendaftaran badan induk bola sepak negeri itu diterima dan diluluskan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Khairudin berkata, PAFA diharapkan dapat memberi tumpuan membangunkan sukan bola sepak di Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak merangkap ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah hadir ke Program Santai Port Luck Sambil Healing Tepi Sungai di Dataran Nordin@Sungai Perak anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, pada Isnin. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR 12 FEBRUARI 2024.

“Sudah pasti apabila selesai isu pendaftaran, pengantungan dan sebagainya saya mengharapkan agar PAFA boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin.

“Berilah tumpuan dan fokus yang mana pada hemat saya pertamanya melibatkan pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi dengan mewujudkan pertandingan, klinik dan bengkel.

“Keduanya dari segi kejurulatihan, kerana untuk melahirkan pasukan yang baik, pemain berbakat mesti ada jurulatih yang baik, jadi PAFA juga perlu memikirkan rancangan pembangunan kejurulatihan, kepengadilan dan futsal yang sememangnya di bawah struktur ia sendiri ,” katanya.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin pada 9 Februari lalu mengesahkan rayuan bagi menghalang pembatalan pendaftaran badan induk bola sepak negeri itu diterima dan diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mohd Azhar berkata, perkara itu disahkan menerusi surat Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) bertarikh 9 Februari 2024.

Menurutnya, melalui surat itu, Hannah telah menerima rayuan dan mengekalkan pendaftaran PAFA di bawah Seksyen 21(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan keputusan tersebut muktamad. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengantungan PAFA: Keputusan EGM ditentukan oleh PJS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI