BATU GAJAH – ‘Oh kome, deghoyan dah berbunge, Moh kite minang anok dare’
Itu bait-bait lirik nyanyian pelawak popular tanah air, Allahyarham Mr Os yang sering menjadi siulan kebanyakannya masyarakat tempatan di sini dek kerana keunikan loghat Negeri Perak yang ditonjolkan.
Namun, walau berbeza warna kulit, ia tidak menghalang pempengaruh media sosial yang juga usahawan, Wee Fook Seong atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Wee’ untuk bukan sahaja meminati lagu berkenaan, malah turut menguasai loghat Perak dengan baik.
Selain berkongsi tentang tips berkenaan penjagaan kereta, telatah Fook Seong, 34, yang mengajar isterinya, Goh Zhi Xuan, 27, untuk berbahasa Loghat Perak menerusi rakaman video pendek turut menarik perhatian warga maya sehingga dia berjaya memperoleh lebih 350,000 pengikut pada laman Tik Tok.
Pengusaha perniagaan kedai aksesori kereta di Taman Seri Wangsa di sini itu berkata, keunikan lenggok bahasa dan bunyi perkataannya membuatkan Fook Seong jatuh cinta terhadap loghat berkenaan.
“Saya merasakan loghat Perak ini unik disebabkan ia ada loghat tersendiri di setiap daerah, walaupun berada dalam negeri yang sama. Misalnya di Kuala Kangsar ada perkataan yang tidak sama dengan di sebelah Parit.
“Jadi sebab itu saya suka untuk memahami dan mendalami loghat Perak ini sendiri. Tambahan, ia memudahkan saya untuk bergaul dengan lebih rapat terhadap rakan-rakan dari masyarakat Melayu.
“Kalau dapat ‘melabun’ (bersembang) dalam dialek Perak dengan ‘deme’ (mereka), boleh jadi sampai dua ke tiga jam. Sebab kita dapat rasa dekat, walau berbeza kaum,” katanya kepada MG Perak.
Bapa kepada empat cahaya mata itu tidak menolak terdapat individu yang akan berasa hairan terhadapnya yang fasih bertutur dalam dialek Perak, terutama kepada yang baru mengenalinya.
“Mana yang pertama kali berjumpa dengan saya, memang akan ada yang terkejut disebabkan saya fasih bercakap loghat Perak. Sampai ada yang tanya adakah saya ini berbangsa Cina atau Melayu.
“Namun, selepas lama kita bersembang dalam dialek itu, ia akan jadi seolah-olah sudah lama kenal antara satu sama lain,” ujarnya lagi.
Kuasai loghat Perak dengan sendiri
Menceritakan detik-detik awal, Fook Seong berkata, dia sememangnya meminati akan loghat Perak sejak daripada kecil.
Anak jati FELDA Lasah, Sungai Siput itu berkata, dialek itu kerap didengar olehnya kerana dibesarkan dalam suasana dan persekitaran yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.
Katanya, walau bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Lintang dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Shing Chung, ia sedikit pun tidak melunturkan loghat Perak yang tertanam dalam jiwanya.
“Dalam kalangan keluarga, pada awalnya mereka juga merasa hairan bagaimana saya boleh menguasai loghat Perak sedangkan tiada mana-mana ahli keluarga ada kebolehan sama. Namun, lama-kelamaan mereka turut berbangga terhadap kelebihan saya itu.
“Perkara sama juga turut berlaku dalam kalangan rakan-rakan sebangsa dengan saya, bagaimanapun, ramai antara mereka yang menyokong saya,” jelasnya.
Walau masih fasih berbahasa Cina, Fook Seong berkata, ketika ini dia masih mendalami loghat Perak dengan mempelajarinya melalui beberapa kenalan di Kuala Kangsar dan Parit.
Katanya, selain menonton filem dan mendengar lagu-lagu Allahyarham Mr Os, dia juga sering menonton video pencipta kandungan atas talian, Apit Wan Lebo bagi mempelajari perkataan-perkataan baharu dalam dialek Negeri Perak.
“Selepas menguasai sesuatu perkataan itu, saya akan cuba mengajar kepada ahli keluarga saya. Dan kini isteri dan anak sulung yang berusia tujuh tahun mula menunjukkan minat sama.
“Walau tidak terlalu fasih, namun isteri saya sudah mula boleh bertutur sedikit dalam loghat Perak sejak beberapa tahun ini,” tambah Fook Seong.
Selain loghat Perak, Fook Seong memberitahu, dia juga gemar untuk mempelajari tentang budaya, adat dan sejarah masyarakat Melayu tempatan.
“Saya suka untuk mengetahui dan mempelajari budaya masyarakat Melayu misalnya adat makan menggunakan tangan kanan, budaya berbusana seperti tengkolok serta sejarah kesultanan dan kepahlawanan Melayu.
“Selain itu, sejak saya berumur 28 tahun, saya sudah gemar untuk mengetahui tentang agama Islam itu sendiri terutama berkenaan dengan menutup aurat dan solat untuk orang Islam,” katanya.
Perubahan hidup
Fook Seong mengakui, kehidupannya berubah 180 darjah apabila videonya yang bertutur dalam loghat Perak semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna Tik Tok.
Katanya, daripada seorang usahawan dia kini turut bergiat aktif sebagai pencipta kandungan yang mana ia turut membantunya meraih pendapatan sampingan.
Selain menjual barangan, Fook Seong berkata dia juga kerap menerima tawaran membuat kandungan ‘review’ terhadap tempat pelancongan atau kedai makan pada laman sosial miliknya, dengan kadar harga yang berpatutan.
Di samping itu, dia berkata, pentingnya untuk generasi muda kelahiran Perak untuk menguasai loghat negeri ini bagi memastikan ia terus mekar dan tidak hilang ditelan arus kemodenan.
“Tidak salah jika kita hendak mengejar kemodenan demi kemajuan diri, namun jangan sesekali melupakan asal usul kita.
“Sebagai orang yang dilahirkan di Perak, amat penting untuk kita terus menguasai serta mempertahankan khazanah loghat Perka ini agar ia tidak hanya sekadar menjadi sejarah sahaja,” ujarnya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bahasa kolokial, dialek perlu dipertahan supaya tidak pupus
MGPerak: Pak Wee Gemar Melabun Loghat Perak
[…] Pak Wee gemar ‘melabun’ loghat Perak […]