Penganggur didakwa bunuh jiran warga emas

IPOH – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh jirannya, wanita warga emas, minggu lalu.

Tertuduh, Foon Choon Kheong, 53, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Evangelin Simon Silvaraj namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah membunuh Woo Chui Fun, 70, di No. 40, Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman dalam daerah Kinta antara jam 4.40 petang hingga 10 malam, pada 4 Mei 2026.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung, jika sabit kesalahan.

Kes Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam, Khesminkapil Singh Dhanoa.

Tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, seorang wanita warga emas berusia 70 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

Katanya, suspek yang juga jiran mangsa, pernah dihantar menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) pada Februari lalu. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita warga emas maut ditetak, jiran ditahan bantu siasatan

Lelaki disyaki bunuh wanita warga emas direman lima hari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI