IPOH – Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada anak mangsa sekitar jam 10 malam.
Menurutnya, mangsa berusia 70 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.
“Susulan kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun iaitu jiran mangsa ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Selain itu, sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut ditemui di lokasi kejadian.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, suspek pernah dihantar menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) pada Februari lalu.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk proses bedah siasat,“ ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Najib menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


