HYDERABAD – Pakistan dan Iran menyuarakan kebimbangan baharu terhadap serangan Israel ke atas Lubnan serta memberi amaran mengenai risiko kegagalan proses damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam perbualan telefon dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar pada Isnin “menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di rantau itu, termasuk pelanggaran gencatan senjata di Lubnan oleh Israel serta arahan kerajaan Israel berhubung kemungkinan serangan di beberapa kawasan di Beirut,” menurut Kementerian Luar Pakistan menerusi media sosialnya.
Iran memberi amaran akan bertindak balas sekiranya rejim Zionis meneruskan serangan di Lubnan susulan ancaman pemimpin Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad untuk menyasarkan Beirut.
“Gencatan senjata antara Iran dan AS secara jelas merangkumi semua medan, termasuk Lubnan. Pelanggaran di satu medan bermakna pelanggaran terhadap keseluruhan gencatan senjata itu,” kata Araghchi menerusi platform X pada Isnin, merujuk kepada gencatan senjata April yang dipersetujui hasil pengantaraan Pakistan.
Kementerian Luar Pakistan berkata Araghchi “meminta Pakistan terus menggunakan saluran diplomatiknya bagi membantu meredakan ketegangan semasa dan menyokong usaha mengekalkan gencatan senjata”, manakala Dar pula “menekankan kepentingan memastikan gencatan senjata itu terus dipatuhi bagi mengelakkan sebarang keruntuhan terhadap persefahaman sedia ada.”
Situasi di Asia Barat kekal tegang ketika Pakistan meneruskan usaha diplomatik untuk membantu mencapai perjanjian yang berkekalan antara Iran dan AS.
Serangan berulang Israel di Lubnan dan Gaza telah mencetuskan bencana kemanusiaan serta menyukarkan usaha mencapai penyelesaian antara AS dan Iran.
Presiden AS Donald Trump berkata pada Isnin bahawa beliau telah bercakap dengan Netanyahu dan kumpulan penentang Lubnan, Hizbullah, menerusi perantara bagi mengelakkan peningkatan ketegangan.
Pelanggaran berulang Israel terhadap kedaulatan Lubnan mendapat kecaman meluas masyarakat antarabangsa, namun rejim Zionis dilihat tidak terhalang daripada meneruskan tindakannya yang mencetuskan provokasi.
Situasi di Lubnan turut dibincangkan dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Pakistan dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas, yang bersama-sama mempengerusikan Dialog Strategik EU-Pakistan pusingan kelapan di Islamabad pada Isnin.
“Mereka mengesahkan semula sokongan terhadap kedaulatan, integriti wilayah dan kestabilan Lubnan serta bersetuju mengenai keperluan usaha antarabangsa yang diselaraskan bagi mencapai penyelesaian secara aman dan berkekalan,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.
Dalam kenyataannya kepada media bersama Dar, Kallas berkata Pakistan merupakan kuasa penting di rantau itu dan memuji peranannya dalam rundingan antara AS dan Iran.
“Usaha diplomatik anda telah beberapa kali membantu mengelakkan rantau ini kembali terjerumus ke dalam perang besar-besaran. Usaha itu amat diiktiraf dan dihargai di seluruh Eropah,” katanya. -BERNAMA


