Pamer harga minyak masak peket RM2.50, jual RM3

TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengambil tindakan ke atas sebuah premis yang menjual barangan runcit di sini selepas didapati menjual barang kawalan minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi melebihi harga ditetapkan.

Pemilik premis didapati memaparkan tanda harga sebenar minyak masak bersubsidi RM2.50 di rak jualan namun apabila tiba di kaunter harga yang dikenakan ke atas pelanggan adalah RM3.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya berjaya mengesan perkara itu ketika melaksanakan Ops Samar di premis berkenaan sekitar jam 10.50 pagi pada Rabu.

Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan hasil daripada maklumat dan aduan diterima daripada pengadu yang mendakwa peniaga premis berkenaan menjual minyak masak peket bersubsidi dengan harga RM3 sekilogram melebihi harga ditetapkan RM2.50.

“Susulan aduan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan dengan kaedah penyamaran dengan membuat uji beli.

“Satu uji beli minyak masak paket satu kg dibuat oleh pegawai berkenaan dan anak pemilik perniagaan tersebut memaklumkan minyak masak peket bersubsidi itu dijual dengan harga RM3.

Peniaga boleh dikenakan denda RM1 juta, jual minyak peket subsidi RM3
Peniaga pamer tanda harga RM2.50 bagi sepeket minyak masak peket bersubsidi tetapi jual dengan harga RM3. Foto ihsan KPDN Perak

“Selepas uji beli selesai dilakukan, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa beruniform telah masuk ke dalam premis dan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit.

“Pemeriksaan di ruangan jualan mendapati harga minyak masak peket bersubsidi yang dipamerkan adalah RM2.50 sekilogram, namun apabila pelanggan membuat bayaran, harga yang dikenakan adalah RM3 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada pemilik premis.

“Sebanyak 55 kg minyak masak peket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM165.

“Justeru, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntuk hukuman maksimum denda RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum ialah RM2 juta,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Diesel, minyak masak, Tong LPG bernilai RM90,000 dirampas

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI