Menjadi Ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia sejak di bangku sekolah rendah mendekatkan Aysha Zahra Anuar, 17, lebih dengan masyarakat disamping mengharumkan nama sekolah serta negeri Perak.
Maka tidak hairanlah apabila pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist (MGS), Ipoh ini menjadi calon bagi Anugerah Pandu Puteri Raja 2026.
Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Aysha Zahra berkata, pada mulanya dia menyertai Kadet Remaja Sekolah semasa di darjah empat namun membuat keputusan menukar unit beruniformnya kepada Pandu Puteri.
“Saya mula menyertai Pandu Puteri ketika berada di darjah empat dan kemudian saya menyertai sebuah kem peringkat kebangsaan yang diaadkan di Jugra, Selangor yang juga menjadi titik permulaan saya bergiat aktif dalam persatuan ini.
“Semasa menyertai kem berkenaan saya mempelajari pelbagai ilmu baharu disamping mengenali ramai rakan-rakan baharu dan bila balik sahaja dari kem cikgu saya menawarkan sesuatu yang mengubah hidup saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Aysha Zahra berkata, dia ditawarkan gurunya untuk menjadi calon menyertai Bengkel Anugerah Tunas Harapan Ketua Pesuruhjaya.
“Bermula dari situ saya meneruskan perjalanan sebagai Pandu Puteri dengan membuat buku ‘log’, memperoleh selempang dan lencana sehingga darjah enam di mana saya berjaya memperoleh anugerah berkenaan,” katanya.
Terima Anugerah Puteri Remaja
Aysha Zahra berkata, perjalanannya di dalam Pandu Puteri tidak berhenti di sekolah rendah sebaliknya diteruskan apabila menjejak sekolah menengah dengan dorongan guru-guru.
Katanya, usahanya bergiat aktif dari tingkatan satu hingga tiga memberikan hasil apabila menerima anugerah Puteri Remaja dengan sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan.
“Selepas menerima Anugerah Puteri Remaja saya rasa ‘burn out’ dan hampir menyerah kalah namun semangat dan dorongan daripada keluarga, guru-guru dan rakan mendorong saya untuk bangkit semula.

“Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk meneruskan impian mengejar Anugerah Pandu Puteri Raja dan hanya ada satu sahaja lagi iaitu menghadiri bengkel sebelum ia dapat direalisasikan,” katanya.
Selain itu, Aysha Zahra juga berkata melalui Pandu Puteri dia diberi peluang mengikuti Program Pertukaran Budaya PPPM Cawangan Perak dan Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan, Brunei baru-baru ini.
“Saya juga merupakan antara salah seorang daripada lapan peserta yang dipilih menyertai Program Youth Exchange Program 2025 (Ipoh-Fukuoka Student Exchange) di Jepun pada Disember tahun lalu,” katanya.
Anjur program khidmat masyarakat bantu pelajar tahfiz
Menurut Aysha Zahra, bergelar sebagai Pandu Puteri mendekatkannya dengan pelbagai lapisan masyarakat dengan menyertai mahupun melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti khidmat masyarakat dan lain-lain.
Aysha Zahra berkata, bagi memenuhi syarat menjadi calon Pandu Puteri Raja, dia perlu melakukan projek khidmat masyarakat selama tiga bulan dengan membuat kebaikan serta membawa perubahan kepada komuniti yang disantuninya.

Katanya, justeru itu dia memilih untuk menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Semaian Kasih di Maahad Darus Salam di Tambun Ipoh dalam usaha mendekati dan menyantuni pelajar di sekolah berkenaan.
“Saya memilih untuk melaksanakan projek khidmat masyarakat saya di Maahad Darus Salam dengan memberi sumbangan alat pelajaran bagi kemudahan mereka untuk meneruskan pelajaran.
“Jadi di sini saya bukan saja membekalkan mereka alat pelajaran tetapi juga membekalkan mereka makanan sempena bulan Ramadan ini dan sabun-sabun untuk mereka meneruskan kehidupan harian,” katanya.
Tambahnya, sebelum melaksanakan program khidmat masyarakat tersebut, dia menjual cenderahati, pakaian terpakai bagi mengumpul wang untuk membeli barang keperluan yang disumbangkan.
“Selain itu saya juga melakukan kerja-kerja am di rumah kawan-kawan ayah saya selain bekerja selama tiga jam seminggu di pejabat dan hotel sehingga berjaya mengumpul RM1,200,” katanya.
Jangan malu, ‘just do it’
Aysha Zahra turut berkongsi nasihat kepada pelajar sekolah agar tidak berasa malu apabila melakukan sesuatu perkara terutama sekali dalam menonjolkan diri melalui badan beruniform di sekolah.

Katanya, sebagai pelajar sekolah yang bergiat aktif dalam semua jenis aktiviti amat membantu mereka dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PAJSK).
“Nasihat saya jangan malu, ‘just do it’ kalau pernah terlintas untuk menyertai unit uniform yang anda minat terus sahaja pilih, jangan ragu-ragu atau takut.
“Penglibatan dalam kokurikulum ini amat penting untuk markah PAJSK yang mana akan membantu kita apabila mahu memohon kemasukan ke universiti,” katanya. -MG Perak


