PENGIKTIRAFAN Pasar Pagi Sungai Bayor, Selama sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 5 September 2025 mungkin dilihat sebagai satu pencapaian yang bersifat simbolik.
Namun di sebalik rekod sepanjang 2.32 kilometer itu, tersimpan naratif lebih besar mengenai bagaimana pembangunan berasaskan komuniti mampu menjadi pemacu kepada agenda pembangunan negeri menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Apa yang berlaku pada Pasar Sungai Bayor hari ini bukanlah sesuatu yang terhasil dalam tempoh singkat memandangkan pasar ini bermula sebagai Pekan Jumaat pada era 1960-an.
Ia kemudiannya berkembang secara semula jadi hasil penyertaan masyarakat setempat yang menjadikan aktiviti perniagaan kecil dan pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Daripada sekadar tempat urusan jual beli, Pasar Pagi Sungai Bayor kini berkembang menjadi identiti daerah yang menghubungkan ekonomi rakyat, warisan budaya dan sektor pelancongan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
Ia jelas menunjukkan lokasi ini merupakan simbol pembangunan rakyat dan perkara itu diutarakan sendiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui ucapannya ketika melawat pasar tersebut.

Saarani menegaskan menegaskan pembangunan daerah tidak seharusnya diukur hanya melalui projek mega atau pembangunan fizikal semata-mata. Sebaliknya, pembangunan sebenar berlaku apabila manfaat ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh rakyat termasuk penjaja, peniaga kecil, pekebun dan pengusaha tempatan.
Hakikatnya, Pasar Pagi Sungai Bayor merupakan contoh paling jelas kepada pendekatan pembangunan inklusif yang menjadi antara teras utama Perak Sejahtera 2030.
Di sinilah hasil tani tempatan dipasarkan, makanan tradisional diwariskan kepada generasi baharu dan peluang keusahawanan diwujudkan kepada masyarakat setempat.
Lebih penting, pasar tersebut menjadi ruang sosial yang menghidupkan hubungan komuniti, sekali gus membentuk kekuatan modal sosial yang sukar diukur melalui angka statistik semata-mata.
Mengukuhkan identiti Hab Pelancongan Eko-Warisan
Melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 daerah Larut, Matang dan Selama dikenal pasti sebagai Hab Pelancongan Eko-Warisan negeri yang membawa limpahan serta kesejahteraan kepada rakyat.
Maka dalam konteks itu, Pasar Pagi Sungai Bayor sebenarnya memainkan peranan jauh lebih besar daripada sebuah pasar tradisional memandangkan ia berfungsi sebagai produk pelancongan komuniti yang melengkapkan pelbagai tarikan alam semula jadi di daerah Selama termasuklah ujuh Lata Selama yang telah diangkat sebagai Ikon Pelancongan Ke-12 Negeri Perak.

Gabungan antara pasar tradisional, produk agro, dusun durian, makanan tempatan, homestay dan kawasan rekreasi alam semula jadi memberi nilai tambah kepada pengalaman pelancong yang berkunjung ke daerah tersebut.
Pengunjung yang datang membeli-belah di pasar berpotensi meneruskan perjalanan ke kawasan lata, menikmati makanan tempatan, membeli produk kampung atau menginap di inap desa sekitar daerah tersebut.
Jika aliran ekonomi ini dapat disusun dan diperkukuhkan, manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh peniaga pasar malah turut melibatkan pengusaha pelancongan, pemilik inap desa (home stay), pengusaha makanan dan usahawan desa.
Inilah konsep limpahan ekonomi yang menjadi antara objektif utama Perak Sejahtera 2030 dalam memastikan pembangunan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.
Hakikatnya, Pasar Pagi Sungai Bayor hari ini bukan lagi sekadar sebuah pasar mingguan.

Ia telah berkembang menjadi simbol kekuatan ekonomi rakyat, lambang identiti daerah dan pemangkin kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Apa yang berlaku di Sungai Bayor membuktikan bahawa pembangunan tidak semestinya perlu meniru model bandar besar atau bergantung kepada projek berskala mega.
Sebaliknya, apabila kekuatan tempatan dikenal pasti, dipelihara dan diperkasakan secara terancang ia mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
Dalam konteks itu, Pasar Pagi Sungai Bayor boleh dianggap sebagai manifestasi paling jelas kepada semangat Perak Sejahtera 2030 iaitu pembangunan yang berasaskan identiti tempatan, memberi manfaat kepada rakyat dan menjamin kesejahteraan generasi masa hadapan. –MGPerak


