Pekerja asing ganggu kententeraman awam dipindah secara berperingkat – Exco

IPOH – Sebanyak 13 unit rumah yang menempatkan pekerja asing di D’Aman Residensi di Halaman Meru Amandi sini akan mula dipindahkan secara berperingkat mulai Mei tahun depan.

Keputusan itu dibuat susulan rungutan penduduk berhubung isu penempatan 164 warga asing yang menduduki pangsapuri mampu milik itu yang didakwa mengganggu ketenteraman mereka.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan berkata, selepas beberapa siri perbincangan antara syarikat penyedia penginapan pekerja asing bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) Halaman Meru Aman akhirnya mereka  mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, menerusi perbincangan tersebut, mereka turut bersetuju tiada lagi kemasukan baharu melibatkan pekerja asing dibenarkan pada masa depan.

“Pihak syarikat bersetuju untuk memindahkan 13 unit rumah bagi kelulusan pertama sebelum atau pada 3 Mei 2024 manakala baki 13 unit lagi akan dipindahkan secara berperingkat dan akan mempertimbangkan perpindahan lebih awal sekiranya perlu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhammad Fauzi Abd Ghani.

Pangsapuri mampu milik D'Aman Residensi di Halaman Meru Permai, Meru
Pangsapuri mampu milik D’Aman Residensi di Halaman Meru Permai, Meru.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, menerusi perbincangan tersebut, pihak syarikat bersetuju untuk menarik saman pemula yang difailkan mereka pada 29 September lalu.

“Pihak syarikat bersetuju memberikan kerjasama penuh berhubung permasalahan yang melibatkan pekerja asing dan pihak JMB bersetuju untuk menarik semua laporan polis berhubung pemalsuan dokumen.

“Justeru, kita berharap dalam tempoh tujuh bulan akan datang, tiada lagi masalah yang timbul di kawasan penempatan ini. Kami turut mencadangkan supaya pihak syarikat melantik seorang wakil daripada pekerja asing terbabit untuk berurusan dengan JMB jika timbul isu berbangkit,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan kepada Hafez yang membangkitkan isu tersebut, Pengarah JTK dan semua pihak yang duduk semeja berbincang untuk menyelesaikan masalah itu dengan cepat.

Sebelum ini, media melaporkan kehadiran warga asing menduduki pangsapuri tersebut menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk.

Penduduk mendakwa kehadiran warga asing yang bekerja di sebuah kilang di Jelapang sejak lebih tiga tahun lalu itu, menyebabkan kawasan berkenaan kotor selain berasa tidak selamat terutama untuk wanita dan kanak-kanak. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI