Pelabur REE perlu bawa teknologi, kongsi kepakaran – Johari

IPOH – Pelabur asing yang berminat melabur dalam sektor industri unsur nadir bumi (REE) di Malaysia perlu membawa teknologi serta bersedia untuk berkongsi kepakaran masing-masing, selain terlibat secara langsung dalam keseluruhan rantaian industri berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana pelaburan dalam sektor REE tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti huluan semata-mata, sebaliknya ia perlu merangkumi aktiviti pertengahan dan hiliran.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan negara tidak hanya mendapat manfaat daripada aktiviti perlombongan dan eksport, sebaliknya mampu membangunkan industri REE bernilai tinggi dalam negara.

“Untuk kita mendapatkan manfaat sektor REE secara keseluruhan, kita bukan sahaja mahu menjalankan aktiviti ‘upstream’ dan mengeksportnya, tetapi kita mahu membangunkan keseluruhan rantaian nilai daripada ‘upstream’, ‘midstream’ hingga ‘downstream’.

“Kalau ada pelabur datang, dia nak terlibat dalam ‘upstream’ (sahaja) tetapi dia tidak mahu berkongsi teknologi, kita akan fikir dua ke tiga kali dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Invest In Perak Day 2026 yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.

Pelabur REE pelabur unsur nadir bumi, pelaburan REE, pelabur sektor REE, industri REE Malaysia teknologi REE pelaburan REE di Malaysia industri unsur nadir bumi rantaian nilai REE Johari Abdul Ghani REE
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan lndustri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua, kanan) pada program ’Invest In Perak Day 2026′ di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 OGOS 2026.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Dr Ahmad Shahir Abdul Aziz.

Mengulas lanjut Johari berkata, ketika ini REE merupakan antara mineral kritikal yang amat diperlukan dalam pembangunan pelbagai teknologi di seluruh dunia, sekali gus menjadikan sumber berkenaan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Menurut beliau, perkembangan itu turut menyebabkan syarikat dari dalam dan luar negara sudah mula melihat potensi besar yang dimiliki negara khususnya di negeri Perak menerusi sumber REE.

Jelas beliau lagi, namun manfaat sepenuhnya hanya dapat diraih sekiranya negara mempunyai rakan teknologi yang benar-benar bersedia berkongsi kepakaran.

Johari berkata, kerjasama antara kementeriannya dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) penting bagi memastikan pelabur yang berminat dalam industri REE dapat dipadankan dengan pihak yang mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam bidang berkenaan.

“Kita akan belajar daripada Perak, termasuk perkara yang perlu diubah (ditambah baik) daripada segi peraturan, undang-undang dan ketersediaan teknologi, termasuk memastikan rahsia perdagangan, paten atau teknologi yang dibawa oleh pelabur dilindungi.

“Kita mesti memastikan segala aspek berkaitan itu terpelihara kerana rakan teknologi yang datang melabur tentunya mahu kepakaran dan teknologinya dilindungi serta tidak dikongsi dengan pihak lain,” ujarnya.

Johari berkata, pengalaman Perak juga boleh dijadikan model untuk negeri lain yang turut mempunyai potensi REE seperti Johor dan Negeri Sembilan, khususnya dalam memastikan aktiviti pemprosesan peringkat pertengahan dilaksanakan di Malaysia.

Sementara itu, Saarani berkata, kira-kira 75 peratus daripada komitmen pelaburan dalam sektor mineral berkenaan yang diterima negeri itu sudah direalisasikan.

Beliau memberitahu, baki komitmen berkenaan tidak bermakna pelaburan terbabit gagal, sebaliknya ia memerlukan tempoh tertentu sebelum dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Apabila kita sudah ada komitmen pelaburan itu, kita hendak semua komitmen itu dapat direalisasikan, cuma ia memerlukan masa,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Johari tidak menolak kemungkinan Malaysia bakal menerima impak susulan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggambarkan Selat Hormuz akan menjadi sebagai wilayah baharu Negara Uncle Sam itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesan terhadap Malaysia dijangka tidak seteruk negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan gas, memandangkan negara ini masih merupakan pengeksport bersih gas walaupun pengimport bersih minyak. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

NR-REE: Perak mohon Persekutuan timbang semula peruntukan RM20 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI