BERMULA sebagai pelukis cilik ketika di bangku sekolah rendah, Muhamad Haikal Haqimi Nizam membuktikan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi platform terbaik melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta berdaya saing.
Anak kelahiran Kampar itu berkata, minatnya dalam bidang seni bermula sejak kecil dan semakin menyerlah selepas menjuarai pertandingan Plein Air Challenge pada tahun 2015 ketika berusia 11 tahun.
Kejayaan manis itu sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pelukis Cilik Perak melalui lukisan Kellie’s Castle sebelum menyertai pelbagai program seni di bawah Tourism Perak dan kumpulan pelukis negeri.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan membuka laluan lebih luas kepadanya dengan menyertai pelbagai program dan aktiviti di bawah Tourism Perak dan Pelukis Perak sehingga tamat darjah enam.
Selepas menamatkan pendidikan sekolah rendah, Muhamad Haikal kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Seni Malaysia di Kuala Lumpur dengan mengambil bidang Seni Halus yang dianggap sebagai laluan paling hampir dengan impiannya menjadi seorang arkitek.

Bagaimanapun, anak bongsu itu berkata, perjalanan di sekolah seni tidak hanya tertumpu kepada penghasilan karya sebaliknya membolehkan dia aktif dalam pelbagai program pembangunan pelajar termasuk pertandingan STEM, kepimpinan, sukan dan aktiviti kokurikulum lain.
“Di sekolah seni, saya belajar banyak perkara. Bukan hanya mengenai teknik lukisan atau penghasilan karya, tetapi bagaimana untuk mengurus masa, memimpin pasukan dan membina keyakinan diri.
“Pengalaman menyertai pelbagai pertandingan ketika di sekolah banyak membantu membentuk daya tahan mental yang menjadi aset penting kepada saya dalam menghadapi cabaran pada masa kini.
“Malah karya saya pernah dibukukan dalam satu program di Jerman dan itu menjadi antara pengalaman yang paling saya hargai kerana ia memberi keyakinan bahawa hasil kerja anak muda Malaysia juga mampu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Bakat, kemahiran terus bersinar di PUO
Menurut Haikal, minat mendalam terhadap lukisan bangunan sejak kecil menjadi titik tolak kepada cita-citanya untuk bergelar seorang arkitek.
Meskipun gagal menempatkan diri di dalam institut pengajian tinggi awam (IPTA) pilihannya, dia tidak pernah mengalah demi mengejar cita-citanya itu.

“Sejak kecil saya memang suka melukis bangunan. Ibu bapa saya nampak minat itu dan mereka banyak memberi galakan untuk saya mengejar cita-cita dalam bidang seni bina.
“Selepas menamatkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya bekerja secara sambilan di sebuah firma perunding arkitek sebelum melanjutkan pengajian dalam Diploma Seni Bina di Politeknik Ungku Omar (PUO), di Ipoh,” katanya.
Katanya, pengalaman awal bersama firma perunding tersebut membuka ruang untuk dirinya mengenali dunia seni bina dengan lebih dekat sebelum memilih laluan TVET sebagai platform pendidikan.
“Ramai menganggap TVET sebagai pilihan kedua, tetapi bagi saya TVET adalah pilihan utama. Saya sendiri bukan pelajar yang terlalu cemerlang dalam akademik, namun TVET memberi peluang kepada saya untuk menyerlahkan potensi dan kemahiran yang ada,” ujarnya.
Di PUO, bakat serta potensi Haikal mula mendapat perhatian pensyarah apabila beliau diberi peluang menyertai pertandingan kemahiran PolyCCSkills bagi kategori Art & Deco Painting serta Digital Construction pada 2024 dan 2025.
Hasil latihan dan kesungguhan yang ditunjukkan, beliau berjaya meraih pingat emas sebelum terus mencipta kejayaan dalam pelbagai pertandingan lain termasuk di peringkat antarabangsa.

“Pertandingan pertama yang saya sertai di bawah PUO ialah PolyCC Skills. Walaupun kemahiran itu agak baharu dan mencabar untuk saya, saya percaya kepada kemampuan diri dan akhirnya berjaya memenangi pingat emas.
“Selain itu, saya turut meraih pingat emas dalam Built Environment Project ProAlbi 2024 serta pingat perak dalam pertandingan Building Information Modelling (BIM) di China,” katanya.
Anak muda ini juga mencatat kejayaan dalam pertandingan melibatkan reka bentuk dan inovasi, termasuk BIM Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memerlukan peserta membangunkan projek bangunan secara menyeluruh.
Meskipun aktif dalam pelbagai pertandingan, kecemerlangan akademik tetap menjadi keutamaan Muhamad Haikal dan itu dibuktikan apabila dia mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80.
Keupayaannya turut terserlah apabila berjaya melayakkan diri sebagai finalis Anugerah AYDA (Asia Young Designer Awards), satu pencapaian yang sukar dicapai khususnya di peringkat diploma.
Dinobat TVET Star 2025 bagi kategori Kemahiran
Rentetan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kemahiran serta penglibatan aktif dalam program dan pertandingan sepanjang tahun Haikal telah dipilih sebagai penerima Anugerah TVET Star 2025 bagi kategori Kemahiran.
Beliau menjelaskan proses pemilihan anugerah berprestij itu bukan sahaja menilai portfolio pencapaian malah turut mengambil kira aspek akademik, sahsiah diri dan penglibatan sepanjang tempoh pengajian.

“Apabila saya diumumkan sebagai pemenang, saya sebenarnya bersaing dengan pelajar-pelajar lain termasuk peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan dan sebagainya.
“Kemenangan ini memang tidak dijangka tetapi bagi saya, TVET Star bukan sekadar satu anugerah tetapi satu tanggungjawab untuk terus memperbaiki diri dan menjadi contoh kepada pelajar lain,” katanya.
Mengulas mengenai sokongan yang diterima sepanjang perjalanan tersebut, Muhamad Haikal menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, ahli keluarga, guru serta pensyarah yang sentiasa memberi dorongan sehingga beliau berjaya mencapai tahap sekarang.
“Tanpa mereka saya bukan sesiapa. Mereka banyak membantu, memberi semangat dan membuka peluang kepada saya untuk terus berkembang,” katanya.\

Jangan jadikan TVET pilihan kedua
Berkongsi pesanan kepada generasi muda, Muhamad Haikal berharap persepsi masyarakat terutamanya golongan berkenaan bahawa TVET adalah pilihan kedua perlu diubah.
Katanya, dia mahu lebih ramai anak muda melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukannya pilihan kedua atau terakhir kerana ia menyediakan peluang lebih luas terutamanya pada masa hadapan.
“Bagi saya TVET ni bukan pilihan yang terakhir sebaliknya pilihan utama meskipun saya gagal memasuki universiti yang saya mahu tetapi saya diberi peluang di politeknik.
“Dari situ saya nampak seni bina dekat politeknik ini bukan calang-calang dia mampu bersaing dengan universiti yang lain dan saya gunakan peluang ini sebaik mungkin.
“Kalau kita gunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin, kita juga boleh berjaya seperti orang lain. Saya sendiri adalah bukti bahawa TVET boleh membawa seseorang melangkah jauh dan bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Daripada seorang pelukis cilik yang melakar bangunan di atas kertas kepada penerima Anugerah TVET Star 2025, perjalanan Muhamad Haikal membuktikan bahawa kejayaan tidak ditentukan oleh laluan yang dipilih, sebaliknya oleh kesungguhan untuk memanfaatkan setiap peluang yang hadir.
Kisah kejayaan Haikal turut mencerminkan aspirasi Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam usaha kerajaan negeri memperkasa modal insan berkualiti, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pendidikan TVET.
Pencapaian beliau membuktikan bahawa bakat yang diasah melalui sistem TVET mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah berupaya mengangkat nama Perak dan negara ke peringkat lebih tinggi.
Justeru, kejayaan anak muda seperti Haikal menjadi contoh bagaimana pelaburan terhadap pembangunan bakat, kemahiran dan pendidikan teknikal mampu menyumbang kepada pembentukan masyarakat berdaya saing selaras dengan matlamat Perak Sejahtera 2030. -MG Perak


