TANJUNG MALIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menghidu satu kegiatan penyelewengan diesel apabila dua suspek dikesan cuba melakukan perbuatan itu di beberapa stesen minyak di sekitar Muallim, di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, cubaan dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun yang disyaki pemandu dan kelindan itu bagaimanapun berjaya digagalkan penguat kuasa Pejabat KPDN Cawangan Tapah dalam Ops Tiris 3.0 sekitar jam 7.30 malam.
Menurutnya, serbuan ini dilakukan melalui hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama seminggu di sekitar Tanjung Malim.
“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori kemudiannya akan dipindahkan ke square tank melalui saluran paip pengepam yang diletakkan di atas lori tersebut.
“Seterusnya mereka akanmembuat pembelian minyak diesel berulang kali di stesen minyak sekitar Tanjung Malim,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori yang bertutup kain kanvas turut menemui sebanyak 10 buah square tank dengan anggaran sebanyak 3,500 liter cecair yang disyaki minyak diesel berada di atas lori tersebut.
“Dua lelaki tempatan berumur 26 dan 29 tahun yang disyaki pemandu dan pembantu pemandu telah ditahan untuk siasatan lanjut serta mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit pengendalian barang kawalan berjadual minyak diesel.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilakukan ke atas lori tersebut bersama 10 buah square tank dengan anggaran 3,500 cecair yang disyaki minyak diesel dan peralatan lain dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM88,000,” jelasnya.
Katanya, stesen minyak yang disyaki bersubahat juga akan disiasat dan diambil tindakan serta kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak patahkan sindiket seleweng 4,415 liter minyak diesel