IPOH – Perbuatan seorang lelaki tempatan menjual minyak diesel milik syarikat dia bekerja kepada pemilik bengkel di Talang, Kuala Kangsar, akhirnya terbongkar selepas ditahan pihak berkuasa.
Pemandu lori berusia 49 tahun itu ditahan Pegawai dan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan sekitar jam 1 petang semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi melalui ‘Ops Tiris 2025’ itu turut menahan seorang lelaki yang juga pemilik bengkel berusia 62 tahun.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercaya menggunakan modus operandi dengan menjual minyak diesel dari lori syarikat mereka bekerja kepada pihak bengkel dengan harga RM2.00 seliter.
“Pihak bengkel kemudiannya akan menyedut minyak diesel tersebut dari tangki asal lori mereka mengunakan pam dan hos masuk ke dalam tong ‘jerry can’ di bengkel.
“Minyak yang disedut itu kemudiannya akan dijual kepada lori-lori pengangkutan lain dengan harga RM2.70 seliter,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui anggaran 286 liter cecair yang disyaki minyak diesel dan tiada sebarang permit atau lesen barang kawalan dijumpai di tempat kejadian.
“Sehubungan itu, cecair yang disyaki minyak diesel, kenderaan lori dan 27 unit tong telah disita untuk tindakan lanjut.
“Nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM95,909.48. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Beliau berkata, Kejayaan operasi ini adalah dari risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama satu minggu di sekitar Kuala Kangsar. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak ambil tindakan warga emas cuba seludup tujuh tong diesel