TAIPING – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik dalam nahas di Kilometer (KM) 254 Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah selatan berhampiran Trong dekat sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 12.58 tengah hari.
Menurutnya, sejurus selepas menerima panggilan tersebut seramai enam anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Trong dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis Proton Waja bernombor telah terbabas di bahu jalan dan seorang mangsa lelaki berusia 25 tahun ditemukan tersepit di bahagian pemandu.
“Komander Operasi membuat size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nizam Abdul Manaf tamat sepenuhnya pada jam 2.30 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
3 warga Pakistan maut dalam perjalanan tunai solat sunat Aidilfitri
[…] Pemandu maut kereta terbabas di WCE […]