BELIA atau golongan muda merupakan antara kelompok penting dalam struktur masyarakat Malaysia yang berperanan sebagai penggerak utama dalam hala tuju pembangunan sosioekonomi negara.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan belia berusia 15 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah 9.5 juta orang atau 27.9 peratus daripada keseluruhan populasi negara iaitu 34.05 juta, pada tahun lalu.
Namun dalam era perubahan teknologi yang semakin pesat, generasi muda kini berdepan cabaran lebih kompleks termasuk persaingan global, perubahan pasaran kerja dan keperluan kepada kemahiran baharu.

Di Negeri Perak, agenda pembangunan belia terus diberi perhatian serius apabila kerajaan negeri meletakkannya sebagai antara elemen penting dalam kerangka pembangunan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa, kerajaan negeri tidak mahu anak muda sekadar menjadi pemerhati di sebalik arus kemajuan, sebaliknya mereka perlu tampil sebagai pemain utama dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata, di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, agenda pembangunan belia diletakkan sebagai salah satu ‘tiang seri’ serta pemacu utama kepada seluruh koridor pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri komited sepenuhnya untuk memastikan aspek peningkatan kemahiran dan latihan semula dilaksanakan secara agresif menerusi pemerkasaan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)Negeri Perak.
“Hari ini, TVET di Perak adalah tiket untuk anak muda kita menguasai pasaran kerja industri bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan pada Perasmian Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak yang dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah, di sini, baru-baru ini.

Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, belia merupakan antara lima potensi bagi kekuatan negeri Perak di bawah perkara kelima iaitu ‘Belia Pemangkin Kesejahteraan’.
Saarani berkata, golongan anak muda berperanan sebagai pemacu utama perubahan, tulang belakang transformasi negara, dan arkitek masa depan melalui penguasaan ilmu, nilai murni, serta semangat daya saing yang tinggi.
TVET, ekonomi teknologi masa hadapan
Perkembangan teknologi global seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik, kenderaan elektrik (EV) dan tenaga hijau turut mengubah landskap pekerjaan masa depan, termasuk di Perak.
Menurut Saarani, negeri ini kini berada dalam peta pelaburan teknologi bertaraf global dengan beberapa projek berimpak tinggi yang bakal mengubah struktur ekonomi dan peluang pekerjaan.
Kata beliau, antara projek berkenaan termasuk Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Silver Valley Technology Park (SVTP) di Ipoh serta Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di utara Perak.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JUN 2024.
Tambah Saarani, perkembangan ini menjadikan keperluan tenaga kerja turut berubah secara drastik apabila industri tidak lagi hanya memerlukan pekerja buruh biasa, sebaliknya memerlukan tenaga mahir dalam bidang baharu.
“Industri di Perak sekarang sangat memerlukan penganalisis data atau ‘data scientists’, jurutera robotik, juruteknik peranti pintar, pakar sistem automasi, serta jurutera tenaga boleh baharu.
“Ini adalah peluang keemasan untuk anak muda Perak mendapat pekerjaan premium dengan gaji yang bermaruah di tanah air sendiri, tanpa perlu berhijrah ke luar negara atau ke ibu kota,” ujarnya.
Cabaran masa kini, kesiapsiagaan kerajaan negeri
Walaupun peluang ekonomi semakin terbuka luas, Saarani tidak menafikan bahawa kehadiran teknologi turut membawa cabaran besar kepada pasaran kerja dan struktur kemahiran tenaga kerja sedia ada.
Kata beliau, antara cabaran utama termasuk risiko penggantian pekerjaan tradisional oleh automasi AI, jurang kemahiran antara institusi pendidikan dan industri pekerjaan, serta persaingan pasaran kerja yang semakin sengit.

Justeru itu beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah berpeluk tubuh atau mengambil pendekatan pasif, sebaliknya melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan golongan belia tidak tercicir dalam arus perubahan tersebut.
“Kita telah menyediakan ‘perisai’ dan strategi konkrit untuk memastikan belia kita tidak menjadi mangsa lambakan teknologi, dan antaranya adalah kewujudan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).
“Agensi ini bertindak agresif menjalankan program padanan kerja secara langsung dan menyediakan latihan intensif jangka pendek berpandukan kehendak industri semasa,” kata Saarani.

Selain itu tambah beliau, penubuhan Majlis TVET Perak turut menjadi platform penyelarasan antara institusi latihan dan pelabur industri seperti Proton, Geely serta pelabur di SVTP bagi memastikan silibus latihan sentiasa relevan dengan keperluan teknologi terkini.
Kata Saarani, kerajaan negeri turut memperkenalkan Hab Digital dan Dana Usahawan Belia bagi memberi ruang kepada golongan muda menceburi bidang keusahawanan teknologi serta ekonomi gig secara lebih mampan.
Dalam pada itu beliau turut menyeru agar golongan muda di negeri ini agar tidak bersikap pasif atau sekadar menunggu peluang datang bergolek tanpa usaha.

Tegas beliau, sebaliknya mereka perlu lebih proaktif, berani tampil ke hadapan serta bijak merebut setiap ruang dan peluang yang tersedia dalam pelbagai bidang yang sedang berkembang pesat di negeri ini.
“Kami sediakan polisi, dana, bawa masuk pelabur masa hadapan, dan cuba tangani setiap cabaran pasaran kerja. Namun, harus diingat, semua itu hanyalah ‘kenderaan’ yang kaku sekiranya tiada ‘enjin’ yang menggerakkannya,” ujarnya.
“Semua belia diingatkan agar jangan jadi generasi yang hanya menunggu disuap, atau pemerhati di tepi jalanan yang sekadar mengkritik tanpa memberi solusi. Ambil peluang yang terbentang luas di bumi bertuah Perak ini,” katanya lagi.
Secara keseluruhannya, agenda pembangunan belia di Perak bukan sahaja menjadi pelengkap kepada dasar negeri, malah ia berfungsi sebagai nadi utama dalam memastikan negeri ini terus kekal relevan dalam arus ekonomi baharu.
Dengan pelaburan berimpak tinggi, penekanan kepada TVET serta sokongan ekosistem keusahawanan, Perak dilihat berada pada landasan tepat untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran masa depan, malah mampu mencorakkan hala tuju negeri sebagai hab ekonomi berteknologi tinggi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


