Pemberian BKKA: CUEPACS seru contohi Perak, Pulau Pinang

IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), menyeru semua kerajaan negeri agar mengikut jejak Perak dan Pulau Pinang yang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) buat penjawat awam negeri masing-masing.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pemberian BKKA kepada penjawat awam kerajaan negeri bersempena Aidilfitri dapat meringankan beban persediaan menyambut hari raya bagi golongan berkenaan.

“CUEPACS merakamkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak di atas bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 dan kami juga dimaklumkan perkara ini dilaksanakan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Maka dengan itu CUEPACS memohon dan merayu kepada semua kerajaan negeri yang lain agar memberi pertimbangan yang sama seperti Perak dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Program Bubur Lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Anjung AUEGCAS, di sini, pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Rabu mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Raya sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri ini termasuk guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian.

Saarani turut mengumumkan buat kali pertama bantuan khas itu turut dipanjangkan kepada semua 996 ketua kampung di seluruh negeri, menjadikan jumlah keseluruhan BKK Raya sebanyak RM8.8 juta, melibatkan 8,804 penerima.

Sementara itu, Kerajaan Pulau Pinang pada 7 Mac telah meluluskan BKKA 2024 sebanyak setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian itu sebagai apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang yang merupakan nadi kepada kerajaan negeri. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

CUEPACS rayu Perdana Menteri teruskan tradisi pemberian BKKA

MGPerak: CEUPACS Rayu Perdana Menteri Teruskan Tradisi 10 Tahun Pemberiaan BKKA

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI