IPOH – Semua pembinaan pondok pengawal di kawasan perumahan bukan strata diwajibkan mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mengelak risiko keselamatan dan gangguan kepada pengguna jalan awam.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pembinaan itu tertakluk kepada kelulusan dan pematuhan Garis Panduan Pondok Pengawal MBI bagi mengawal pembinaan pondok pengawal serta penubuhan komuniti berpagar dan berpengawal di kawasan perumahan bukan strata.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan selepas menerima pelbagai aduan berkaitan pertikaian caj, perbezaan pandangan serta ketegangan hubungan kejiranan yang timbul akibat pelaksanaan komuniti berpagar tanpa kebenaran.
“Fokus semasa ialah pengawalseliaan dan pemutihan pondok pengawal di kawasan bukan strata supaya pelaksanaannya sah dan teratur.
“Berdasarkan undang-undang sedia ada, sekatan atau halangan di jalan awam hanya boleh dilakukan dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Antara langkah yang sedang dilaksanakan adalah, semua pondok pengawal diwajibkan mendapat kelulusan rasmi berdasarkan garis panduan MBI dan pemetaan status pondok pengawal di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
“Selain itu, penyelarasan dengan Pejabat Tanah dan polis bagi melancarkan proses permohonan dan memastikan akses awam serta keselamatan terjamin.
“Di samping itu, pembinaan itu perlu melibatkan sekurang-kurangnya 85 peratus persetujuan penduduk dari persatuan penduduk berdaftar, pelan susun atur yang jelas, kawalan keluar masuk yang tidak menafikan hak lalu lintas awam, akses kecemasan/utiliti, dan pengurusan caj yang telus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pondok pengawal Meru Valley di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Whip Ahli Majlis, Mazlan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Perancang Bandar MBI, Jaslina Saidin.
Dalam pada itu, Sandrea berkata, kerajaan negeri sedia berkongsi pengalaman serta pandangan berhubung pelaksanaan inisiatif keselamatan komuniti dengan kerajaan Persekutuan sebagai input bagi menambah baik dasar sedia ada, termasuk pertimbangan terhadap aspek pindaan undang-undang sekiranya diperlukan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan, keharmonian kejiranan dan pematuhan undang-undang dapat dicapai.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk pindaan undang-undang atau penambahbaikan dasar, kerajaan negeri sentiasa komited menjadi titik imbang antara keselamatan awam, pelaksanaan undang-undang dan keharmonian komuniti setempat,” ujarnya.
Katanya, setakat ini MBI telah menerima empat permohonan rasmi bagi pembinaan pondok pengawal di sekitar bandar raya ini dan 15 aduan awam berkaitan pembinaan pondok pengawal tanpa kelulusan.
“MBI juga diarahkan untuk memperkukuh dan memudahkan proses berkaitan, termasuk menyediakan saluran mediasi bagi memastikan komuniti tidak terperangkap antara keperluan keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: