Sandrea Ng komited perbaiki mutu perkhidmatan PBT di Perak

SIAPA sangka bermula sebagai Pegawai Khas Exco Pembangunan Industri dan Penerangan Perak, Tai Sing Ng, pada tahun 2008, figura bernama Sandrea Ng Shy Ching mengikut jejak seniornya apabila dilantik menjadi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak pada 22 November 2022.

Pelbagai cabaran dan dugaan yang ditempuh beliau sepanjang setahun memegang portfolio berkenaan terutamanya yang banyak berkait dengan isu rakyat serta membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, yang sudah berkhidmat selama dua penggal di kawasannya itu mengambil langkah dengan lebih efektif bagi memastikan keperluan dan permasalahan rakyat dapat ditangani segera.

MG Perak sempat meluangkan masa menemu bual secara eksklusif Sandrea Ng bersama Wartawan, Rosdalilah Zahari beserta Juruvideo, Siti Hajar Mohd Salleh dan Jurugambar, Muhamad Aniq Nabilafiq Mohd Anuar untuk mengetahui sejauh mana pencapaian dan kejayaan beliau selepas pertama kali dilantik memegang jawatan tersebut.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching ketika turun padang menjalankan tugas berkaitan portfolionya. Foto Ihsan Sandrea Ng Shy Ching

Isu berkaitan PBT bukan perkara baharu

Sandrea Ng cukup sinonim dengan isu-isu melibatkan PBT memandangkan beliau telah diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi Adun Teja pada tahun 2018 sebelum menjadi salah seorang daripada dua wanita yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Menurutnya, selepas dimaklumkan akan menjaga portfolio tersebut ia dilihat sebagai satu tanggungjawab yang besar kerana berkait rapat dengan kehidupan seharian rakyat.

“Jika dilihat semula sepanjang setahun perjalanan sebagai Exco, saya rasa bersyukur kerana Perak adalah kawasan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan enam orang Menteri Kabinet.

“Secara tidak langsung kita mendapat keutamaan dan perhatian yang khusus dalam banyak aspek serta peruntukan yang diterima juga jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ini membolehkan kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak program pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pada masa sama di bawah portfolio Kerajaan Tempatan, banyak peruntukan yang diberikan fokus untuk menambah baik prasarana dan kemudahan awam. Jadi, tahun ini memang banyak projek akan dilaksanakan seperti naik taraf pasar awam, membaik pulih sistem perparitan dan sebagainya,” katanya.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching ketika turun padang menjalankan tugas berkaitan portfolionya. Foto Ihsan Sandrea Ng Shy Ching

Enakmen Hotel 2023 ganti Enakmen Rumah Tumpangan 1927

Beliau turut berkongsi pencapaian terawalnya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Hotel Perak 2023 pada 23 Mei lalu.

Ujarnya, RUU itu bertujuan untuk mengawal selia perundangan dan perkhidmatan hotel di negeri ini.

Katanya, enakmen sedia ada sudah tidak relevan kerana berusia hampir 100 tahun dan tidak terhad kepada rumah tumpangan semata-mata.

“Dari segi perkembangan terkini dalam bidang perkhidmatan penginapan pelancongan, banyak bidang yang tidak boleh dikawal selia contohnya, homestay, house boat, campsite dan sebagainya.

“Kita perlu ambil iktibar dari negeri lain yang pernah berlaku kemalangan (bencana) dan berharap dengan adanya enakmen tersebut ia membantu kerajaan negeri untuk kawal selia serta membuat perancangan secara teratur.

“Seterusnya, melalui data-data pengusaha perkhidmatan penginapan diperoleh, ia boleh  juga membantu kerajaan negeri untuk mempromosi dan menyediakan kemudahan bersesuaian dalam sektor pelancongan dan kerajaan tempatan pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau menambah, RUU itu kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan peraturan supaya ia dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

Pendigitalan lesen perniagaan menerusi myPATIL dikembangkan di seluruh PBT Perak

Sandrea Ng berkata, selain enakmen tersebut salah satu projek besar yang sedang giat dijalankan di PBT seluruh Perak adalah pelaksanaan lesen perniagaan elektronik pelbagai fungsi (myPATIL).

Menurutnya, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) adalah PBT pertama di negeri ini yang melaksanakannya dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan.

“Kita lihat sistem pelesenan premis perniagaan secara dalam talian telah berjaya meningkatkan keberkesanan dari segi pelesenan dan memudahkan urusan semakan serta penguatkuasaan.

“Sehubungan itu, pelesen-pelesen tidak perlu lagi ke kaunter kerana mereka boleh melakuan urusan semakan dan penguatkuasaan melalui hujung jari sahaja.

“Susulan kejayaan MPM, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM8 juta untuk memperluaskan pelaksanaannya.

“Buat permulaan, ia sekadar untuk memudahkan urusan pelesenan tapi bagi jangka masa panjang, kita akan kumpul data-data daripada penjaja dan peniaga untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan,” katanya.

Ecxo Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin bergambar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Majlis Makan Malam sempena MoU Pelancongan Mesra Muslim Bandar Raya Ipoh, di Hotel MRoof, Ipoh baru-baru ini. Foto ABDULLAH YUSOF.

Gerakan kempen ‘Kenali Ahli Majlis’ selesai isu masalah berkaitan PBT 

Sementara itu, beliau berkata, kempen ‘Kenali Ahli Majlis’ turut diperkenalkan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan PBT seperti masalah jalan berlubang, longkang tersumbat dan banjir kilat.

Beliau berkata, Ahli Majlis memainkan peranan penting kerana menjadi perantara kepada rakyat supaya isu berbangkit dapat disalurkan terus kepada PBT dan kerajaan negeri.

“Ahli Majlis berperanan untuk mendengar rintihan dan luahan masyarakat tempatan serta menyampaikan masalah tersebut ke saluran yang betul supaya isu tersebut dapat diselesaikan segera,” ujar beliau.

Selain itu, program Hari Mesra Bertemu Pelanggan yang diadakan secara jelajah di seluruh Perak turut menjadi platform kepada Sandrea Ng untuk mendengar keluh kesah rakyat berkaitan isu PBT.

“Beberapa isu antaranya melibatkan jalan raya dan sistem perparitan dipercayai berlaku ekoran perubahan iklim yang tidak menentu.

“Jadi, kita minta PBT untuk ambil kira semua faktor dan membuat rancangan yang sepatutnya. Memang banjir sering berlaku di kawasan perumahan dan sistem perparitan yang sedia ada tidak cukup untuk menampung banjir kilat khususnya di luar bandar. Ini kerana masih terdapat kampung yang tiada sistem perparitan asas yang lengkap.

“Perkara ini, memang termasuk dalam bidang kuasa PBT dan kita akan cuba selesaikan masalah tersebut walaupun ia mengambil jangka masa yang lama,” katanya.

Menyentuh isu jalan, beliau berkata, tahun ini kerajaan negeri dalam tindakan penilaian untuk melantik syarikat konsesi bagi melaksanakan kerja-kerja di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

“Melalui kerjasama dengan syarikat konsesi yang dilantik, kita boleh menambah baik terma-terma sedia ada dan prestasi syarikat supaya kerja-kerja khususnya melibatkan penurapan jalan, penyelenggaraan serta yang berkait rapat dengan keselamatan orang awam boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Salah satu isu yang timbul adalah berkaitan menaik taraf sistem kumbahan khususnya di kawasan Ipoh membabitkan jalan utama.

“Kerajaan negeri faham masalah itu banyak menimbulkan kesulitan terhadap rakyat, tetapi ia dijangka selesai dalam tahun ini dan kita pastikan jalan raya yang terlibat diturap dengan baik supaya tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada pengguna,” jelasnya.

Longkang yang sedang dinaik taraf adalah salah satu daripada tugas di bawah portfolio Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching. Foto MUHAMAD ANIQ NABILAFIQ MOHD ANUAR

Pasar awam dinaik taraf, bantu peniaga kecil tambah pendapatan 

Dari segi pasar awam, Sandrea menjelaskan Perak memang banyak menerima peruntukan daripada KPKT dan kerajaan negeri kerana projek penambah baikan pasar menjadi salah satu tumpuan di bawah KPKT pada tahun ini.

“Kita rasa gembira menerima peruntukan untuk menambah baik terima prasarana sedia ada dan ada juga melibatkan pembinaan semula contohnya seperti di pasar awam Pasir Pinji.

“Secara tidak langsung, kita menyediakan dapat kemudahan lebih baik kepada peniaga dan penjaja untuk berniaga serta pelanggan juga akan lebih selesa dengan kawasan persekitaran pasar yang bersih,” katanya.

Untuk isu penjaja, beliau berkata, sepanjang tempoh Covid-19, PBT ada mengeluarkan lesen sementara supaya semua pihak boleh menjalankan perniagaan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, apabila pandemik itu berlalu, PBT sedang melihat semula kesesuaian untuk memberi lesen meliputi semua aspek termasuklah keselamatan dan perancangan jangka masa Panjang.

“Sebelum ini jika, penjaja berniaga tanpa lesen atau tepi jalan, PBT akan usaha mewujudkan kawasan jika ada pontensi dan keperluan untuk menyediakan tempat perniagaan.

“Kita akan buka kawasan sesuai untuk menempatkan penjaja dan peniaga supaya mereka boleh menjalankan perniagaan seperti mana yang dilaksanakan di Kampar dan Perak Tengah,” ujarnya.

Perancangan masa hadapan seiring dengan Perak Sejahtera 2030

Dalam pada itu, Sandrea Ng berkata, tidak dinafikan isu-isu di bawah portfolio Kerajaan Tempatan sering dibangkitkan terutamanya sewaktu sidang DUN Perak.

Oleh itu, beliau berkata, pelbagai jawatankuasa ditubuhkan bagi merangka dan menyelesaikan isu-isu berkaitan PBT yang timbul dalam kalangan rakyat seiring dengan pelan Perak Sejahtera 2030.

“Baru-baru ini kita cuba gunakan teknologi untuk selesaikan masalah yang ada dan bantu meningkatkan lagi keberkesanan.

“Kerajaan negeri juga sedang merancang untuk pembangunan ‘Smart City’ di Perak dan menerusi pelan tindakan ini diharap membantu dalam usaha perancangan bandar dan persediaan untuk masuk ke masyarakat menua.

“Justeru, kita berharap dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan melalui PBT supaya rakyat boleh nampak perubahan serta faham aspirasi yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

24 tahun bergelar pendidik, Khairudin perkasa pendidikan di Perak

MGPerak: Sandrea Ng Komited Perbaiki Mutu Perkhidmatan PBT di Perak

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI