Pembukaan pejabat kerajaan di Mualim bidang kuasa Persekutuan

IPOH – Perak telah membangkitkan keperluan pembukaan pejabat baru agensi-agensi kerajaan di Daerah Mualim pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Muallim sentiasa menjalankan perbincangan strategik dengan pihak-pihak berkenaan bagi memudah cara pembukaan pejabat agensi di daerah Muallim.

Katanya usaha itu diambil susulan Muallim yang kian pesat membangun ekoran perkembangan aktiviti setempat seperti pembangunan Automotive High Technology Valley (AHTV) di Tanjong Malim.

“Namun yang demikian, sebarang pembukaan cawangan atau pejabat di Muallim adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui agensi dan kementerian masing-masing.

“Pentadbiran ini mengambil maklum bahawa pelbagai faktor dan pertimbangan perlu diambil kira sebelum sesuatu agensi boleh membuka pejabat baru di daerah.

“Antara perkara yang perlu diperhalusi adalah kos dan peruntukan bagi menyewa dan menguruskan premis bangunan pejabat, perolehan asset-aset serta pertambahan perjawatan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Salina Samsudin (BN-Behrang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Terdahulu Saarani (BN-Kota Tampan) berkata kerajaan negeri menyedari bahawa penambahan jabatan baharu dapat meningkatkan kualiti dan efisiensi kerja bagi menangani permasalahan yang berlaku serta meningkatkan pembangunan dalam daerah Muallim.

“Kerajaan negeri juga memahami bahawa terdapat beberapa jabatan yang fungsinya di daerah dilihat kritikal namun tidak mempunyai pejabat di daerah Muallim.

“Antaranya adalah Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pertanian dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa agensi lain lagi,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sandrea Ng komited perbaiki mutu perkhidmatan PBT di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI