IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini supaya menjaga disiplin sepanjang tempoh berkempen terutama mereka yang memegang jawatan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, walaupun terdapat wakil daripada parti yang sama di peringkat Kerajaan Persekutuan namun bertanding antara satu sama lain pada PRN tersebut, perkara itu perlu dihormati dalam kerangka demokrasi negara.
Katanya, perkara itu juga antara yang disuarakan beliau kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Datuk Seri Fadillah Yusof melalui panggilan telefon pada Sabtu.
“Dalam perbincangan saya ingatkan calon-calon, terutamanya yang pegang jawatan menteri, timbalan menteri, atau memegang (jawatan dalam) mana-mana agensi kerajaan, mereka boleh bertarung (berkempen) dalam isu-isu (membabitkan hal) negeri.
“Namun, jika calon itu ada jawatan di peringkat Persekutuan, dia tidak boleh menyerang (kerajaan Persekutuan) dan menjadikan ia sebagai satu (modal pada) medan politik yang menyanggah.
“Ini kerana dia perlu jaga disiplin. Dan jika dia (calon berkenaan masih terus) pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia sebagai menteri, timbalan menteri atau pemegang agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Anwar berkata, teguran itu dibuat bagi memastikan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri terus terpelihara selain membolehkan urusan pentadbiran berjalan lancar tanpa terjejas akibat persaingan politik susulan PRN di Negeri Sembilan.
“Tak kiralah mana-mana dia di bawah FELDA, bawah saya ataupun MARA, ataupun RISDA, mahupun mana-mana agensi. Saya minta kita kena jaga (disiplin) supaya ia jangan dilanggar.
“Setakat ini kita minta mereka kawal (disiplin ketika berkempen) supaya hubungan kita di peringkat Persekutuan dan mungkin negeri-negeri itu kekal baik,supaya kerja boleh dijalankan. Dan kalau ada pertarungan pun di peringkat negeri sahaja,” ujarnya.
PRN Negeri Sembilan diadakan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun sebelum ini dilaporkan berkata, seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan Ke-16.
Kata beliau, daripada jumlah itu Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.
Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon.
SPR menetapkan hari pengundian awal pada 28 Julai, manakala 1 Ogos sebagai hari pengundian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRN Negeri Sembilan: 464 borang pencalonan terjual, 70 calon jelaskan deposit setakat ini


